Keselamatan siber negara tanggungjawab bersama

Keselamatan siber negara tanggungjawab bersama – Mohd. Asghar Khan

MOHD. Asghar Khan Goriman Khan (dua dari kanan) diberi penerangan ketika melawat bilik siber dalam Program Siber Siaga Tahun 2022 Peringkat Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keselamatan ekosistem siber negara merupakan tanggungjawab bersama dan tidak terletak kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semata-mata.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan berkata, sebagai seorang rakyat yang cintakan negara, kita tidak mempunyai pilihan selain terus meningkatkan pengetahuan serta kesedaran tentang domain siber ini.

“Dengan cara ini, kita akan lebih berwaspada dan sentiasa mengambil langkah berhati-hati dalam apa jua perkara yang melibatkan penggunaan elemen-elemen siber.

“Pada masa sama, ia membolehkan pihak kerajaan amnya, merancang pelan-pelan tertentu serta bergerak ke hadapan dalam memastikan keselamatan ekosistem siber negara bukan sahaja relevan, malah mampu meramal serta memberi respons terhadap sebarang ancaman yang mendatang,” katanya semasa perasmian Program Siber Siaga Tahun 2022 Peringkat Kementerian Pertahanan.

Beliau berkata, perkara lain yang perlu ditekankan ialah pentingnya untuk semua agensi berkaitan siber bersatu dan berganding melalui pendekatan Whole of Government dan Whole of Society (WoGoS) dalam memastikan kemampanan keselamatan ekosistem siber negara ini.

Melalui pendekatan WoGoS ini juga, tambahnya, ia mampu mengelakkan ancaman peperangan atau serangan yang dibuat secara hibrid terhadap nilai-nilai teras keselamatan negara seperti mana yang termaktub di dalam Dasar Keselamatan Negara 2021 hingga 2025.

“Saya yakin, selain kesedaran terhadap keselamatan ekosistem siber negara, program ini juga dapat meningkatkan pemahaman tentang bidang dan juga tatacara kerja antara semua pihak yang terlibat.

“Ingatlah bahawa ancaman siber ini sentiasa berevolusi dan kegagalan memastikan tahap kesedaran yang tinggi boleh merencatkan segala usaha yang sedang dilaksanakan,” katanya.

Mohd. Asghar Khan berkata, konsep penganjuran secara bersama merupakan kaedah terbaik dalam memperkasakan kawal selia ekosistem keselamatan siber negara kerana melibatkan kerjasama erat serta saling kebergantungan pelbagai pihak.

“Dengan ini, ekosistem keselamatan siber negara akan dapat dimanfaatkan ke tahap yang optimum di samping sentiasa kukuh terpelihara daripada sebarang ancaman yang boleh mengganggu kesejahteraan dan kedaulatan negara.

“Secara keseluruhan, 35 syarikat mengambil bahagian dalam program ini membabitkan 1,100 golongan profesional, 18 universiti dengan 222 orang peserta,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN