Kerajaan rujuk pelbagai data laksana subsidi bersasar - Salahuddin

Kerajaan rujuk pelbagai data laksana subsidi bersasar – Salahuddin

SALAHUDDIN AYUB (dua kiri) mengadakan sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Temu Rapat Bersama Menteri di Hotel Berjaya Waterfront, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan menggunakan pangkalan data bersepadu dan komprehensif sebelum memutuskan sebarang mekanisme pemberian subsidi bersasar termasuk petrol RON95.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya tidak hanya akan bergantung dengan satu rujukan data, sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai pihak untuk menjayakan inisiatif tersebut.

Antara data yang akan digunakan adalah daripada Bank Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Perangkaan Malaysia, Khazanah Nasional dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kerajaan tidak hanya menggunakan pangkalan data JPJ dan merujuk kepada kuasa kuda (CC) kenderaan untuk pemberian subsidi bersasar petrol RON95. Data JPJ itu hanya satu daripada elemen yang akan digunakan dalam pemberian subsidi bersasar petrol RON95,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Temu Rapat Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di Hotel Berjaya Waterfront, di sini malam tadi.

Sabtu lalu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai memaklumkan pangkalan data JPJ akan digunakan sebagai satu daripada elemen menjayakan program subsidi bersasar membabitkan petrol RON95.

Menurutnya, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat kementeriannya bersama-sama dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi, minggu lalu.

Pangkalan data JPJ digunakan untuk subsidi petrol RON95 kerana kerajaan boleh mengenal pasti pasti CC kenderaan golongan sasaran untuk pemberian subsidi petrol berkenaan.

Terdahulu, Penganalisis Ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid memberitahu langkah merujukkan CC kenderaan tidak relevan kerana kebanyakan kenderaan mewah turut menggunakan CC rendah.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, kementeriannya dengan inisiatif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meneliti dan melihat semua data itu sebelum kerajaan membuat keputusan berkenaan perkara itu. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya