Kerajaan digesa campur tangan isu kenaikan OPR

Kerajaan digesa campur tangan isu kenaikan OPR

BANK Negara Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan didesak campur tangan terhadap langkah Bank Negara (BNM) yang dijangka menaikkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada awal tahun depan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Ariff berkata, kerajaan perlu menyelami kesusahan rakyat yang bukan saja terpaksa menanggung kenaikan bayaran ansuran bulanan pinjaman bank, malah juga peningkatan harga barangan asas.

“Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan, harus campur tangan. Beliau harus memahami kedudukan dan kesukaran rakyat sekarang ini.

“Sebabnya apabila BNM menaikkan kadar OPR, amaun bayaran ansuran bulanan juga sudah pasti akan meningkat,” katanya.

Rosland berkata, BNM harus memainkan peranan membantu rakyat merendahkan OPR dan bukan menaikkan kadar faedah.

“Cuba lihat harga rumah sekarang? Berapa ramai yang akan kehilangan rumah jika mereka tidak mampu membayar ansuran bulanan yang meningkat susulan kenaikan OPR?

“Lepas kehilangan rumah, mereka perlu pula buat bayaran shortfall. Jika tak bayar shortfall, mereka akan bankrap. Jadi, berapa ramai sekarang ini rakyat Malaysia yang sudah kehilangan harta dan akan bankrap?” soalnya.

Sementara itu, pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai sewaktu dihubungi menjelaskan, BNM terpaksa menaikkan kadar OPR bagi mengelakkan mereka hilang kawalan ke atas sistem kewangan negara ini.

“Bank Negara perlu menaikkan semula kadar faedah sekurang-kurangnya kepada tiga peratus. Kadar itu hampir sama dengan kadar faedah sebelum Covid-19, yang mana pada waktu itu kadarnya 3.5 peratus. Jadi, kadar faedah itu sudah turun sampai 1.75 peratus.

“Jadi, apabila kadar faedah itu turun rendah sangat, BNM sudah hilang kawalan ke atas sistem kewangan, sebab BNM ini ada dua saja alat untuk mengawal sistem kewangan. Pertama, kadar faedah dan kedua penciptaan kredit. Tetapi, kadar faedah inilah alat mengawal sistem kewangan yang paling utama,” katanya.

Katanya, langkah menaikkan OPR bertujuan mengelakkan wang ringgit berlegar terlalu banyak dalam pasaran, sekali gus mengakibatkan inflasi lebih teruk.

Pada masa sama, Barjoyai berkata, peminjam yang meminjam melalui skim pinjaman kadar berubah akan terkesan dalam soal bayaran balik pinjaman yang amaunnya akan meningkat akibat kenaikan OPR.

“Ada dua jenis pinjaman, pertama pinjaman kadar tetap dan kedua pinjaman kadar berubah. Untuk pinjaman kadar berubah ini, apabila OPR meningkat, maka kadar bayaran pinjaman juga meningkat.

“Lazimnya, setiap kenaikan OPR sebanyak 0.5 peratus, kalau pinjam RM100,000, bayaran semula meningkat dalam RM50,” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan BNM dijangka menaikkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada Januari 2023 bagi mengekang inflasi dan menstabilkan pasaran.

Kenaikan tersebut akan menjadi kali kelima berturut-turut kepada paras 3.0 peratus setelah berada pada paras terendah pada 1.75 peratus sebelum dinaikkan pada 11 Mei tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×