KOTA BHARU: Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memberi cabaran besar buat Pas yang merupakan pelopor gerakan Islam di negara ini.
Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, cabaran itu merujuk kepada usaha menguruskan kemenangan dan mempertahan sokongan yang diterima oleh parti berkenaan.
“Dengan bimbingan Allah, anak muda bersatu hati menolak mereka yang mengambil ringan soal integriti dan maruah bangsa. Bukan hanya di Kelantan, malah di seluruh negara.
“Keputusan baru-baru ini, memberikan satu cabaran ketegasan untuk terus kekal bersih, menjadi bukti kepada dunia, kita bermaruah, berpendirian, teguh dasar dan prinsip perjuangan dan bukan gilakan kuasa semata-mata,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebooknya hari ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, kemenangan mutlak yang lebih besar akan bersama dengan Pas pada masa akan datang.
“Yakinlah masa kita akan tiba dengan kehendak Allah SWT, tanpa perlu menumpang atau terpaksa menerima syarat pihak tertentu.
“Lihat jauh ke depan dan optimis sebagaimana peristiwa Hudaibiyah dan Fathul Makkah. Perjuangan Islam digenggam oleh anak muda sebagaimana pemuda Islam di Taif yang menguatkan pemerintahan Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Generasi yang membela Islam,” ujarnya.
Pada PRU15, Pas menyapu bersih semua 14 kerusi Parlimen yang dipertanding di negeri ini. – UTUSAN










