Kebocoran data Maybank, Astro dan SPR disiasat

Kebocoran data Maybank, Astro dan SPR disiasat

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memandang serius dakwaan kebocoran data Maybank, Astro dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dilaporkan sebuah laman sesawang pada 25 Disember lalu.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia (CSM) kini sedang mendapatkan maklum balas daripada Maybank dan Astro.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, nombor akaun Maybank yang dipaparkan dalam laman sesawang itu adalah tidak sah atau tidak wujud kerana transaksi tidak boleh dilakukan melalui akaun itu.

“Siasatan awal juga mendapati terdapat potensi data yang didakwa bocor adalah merujuk kepada satu insiden kebocoran yang berlaku pada tahun 2018.

“Bagaimanapun, pengesahan rasmi daripada pihak berkaitan adalah diperlukan untuk tujuan siasatan terperinci di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709],” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, siasatan mengenai kebocoran data SPR pula akan diserahkan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) untuk tindakan selanjutnya memandangkan ia adalah di luar bidang kuasa Akta 709.

Fahmi berkata, notis sekatan juga dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tujuan menghalang orang awam mengakses laman sesawang itu.

“Semua pengguna data diingatkan agar sentiasa memastikan tahap keselamatan siber berada pada paras baik dan sentiasa mematuhi prinsip dan standard perlindungan data peribadi selaras dengan Akta 709,” katanya.

Sebelum ini, Fahmi turut berkongsi satu catatan pengguna Facebook dengan nama ‘Pendakwah Teknologi’ yang mendakwa maklumat pengguna hampir 13 juta rakyat Malaysia daripada Maybank, Astro dan SPR bocor.

Menurut catatan di Facebook itu, sebuah laman web sudah menyenaraikan butiran 3.5 juta pelanggan Astro, 1.8 juta pelanggan Maybank dan 7.2 juta pengundi pada 7.56 malam pada 25 Disember.

Maklumat yang bocor itu didakwa melibatkan ID log masuk, nama penuh, tarikh lahir, alamat dan nombor kad pengenalan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya