PETALING JAYA: Seorang bapa ditahan polis selepas dipercayai mendera anaknya hingga mati sebelum menanam mayat kanak-kanak itu berhampiran sebuah tempat riadah di Jalan Pudu dekat sini.
Perbuatan itu dilakukan demi menyembunyikan jenayahnya itu terbongkar selepas polis menerima aduan daripada isteri suspek memaklumkan anak perempuannya yang berusia sembilan tahun didera oleh suaminya pada Jumaat lalu.
Isteri suspek yang juga seorang warga asing berusia 41 tahun membuat laporan selepas mendapati anaknya ditemukan dalam keadaan lemah dan darah keluar dari mulut selepas pulang kerja kira-kira pukul 7 malam, pada hari sama.
Kejadian berlaku di kediaman keluarga itu di Jalan Pudu di sini dan pengadu yang bekerja sebagai pembantu kedai makan mendakwa suaminya ada memukul anaknya itu kira-kira pukul 12 tengah malam pada hari kejadian.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, suspek berusia 40 tahun ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari di Jalan Pasar, dekat sini.
Katanya, hasil soal siasat ke atas suspek iaitu warga tempatan yang juga seorang penganggur, mengaku menanam mayat anaknya di tepi jalan Taman Dusun Bandar, Jalan Bellamy di sini.
Suspek kini direman tujuh hari dan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN









