KUANTAN: Seorang jururawat kerugian RM198,000 dipercayai ditipu individu menyamar bekerja di syarikat penghantaran barang dan pegawai polis.
Ketua Polis negeri, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang menerima laporan seorang mangsa diperdaya sindiket Macau Scam itu pada 29 Disember lalu.
Katanya, kejadian berlaku pada 13 Disember lalu apabila seorang wanita berusia 36 tahun bekerja sebagai jururawat menerima panggilan telefon individu menyamar sebagai pekerja syarikat penghantaran barang.
“Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada pegawai polis yang mendakwa kononnya mangsa terlibat dalam sindiket senjata api dan pengedaran dadah.

“Mangsa diminta membuat pinjaman peribadi oleh suspek dan diberikan satu pautan untuk mengisi maklumat mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ramli berkata, pinjaman peribadi mangsa kemudiannya diluluskan oleh pihak bank lebih kurang dua minggu dari tempoh permohonan.
“Wang pinjaman peribadi tersebut dipindahkan ke akaun suspek tanpa disedari oleh mangsa. Mangsa kemudiannya bertindak membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau dalam pada itu menasihati orang ramai supaya tidak menyerahkan butiran perbankan kepada pihak ketiga ataupun dalam sebarang aplikasi daripada pautan yang mencurigakan.
“Jangan takut atau cemas apabila dihubungi atau didakwa terlibat dengan apa-apa jenayah oleh panggilan telefon yang mendakwa sebagai pihak berkuasa.
“Diingatkan, pihak berkuasa tidak menjalankan apa-apa siasatan melalui panggilan telefon. Sentiasa semak dengan balai, bank atau pejabat berkaitan yang berhampiran untuk pengesahan,” katanya. – UTUSAN