KUANTAN: Bilangan mangsa banjir di negeri ini menurun kepada 387 orang daripada 98 keluarga di empat buah pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah sehingga pukul 8 pagi ini.
Berbanding sehingga pukul 8 malam tadi, mangsa banjir yang berada di empat PPS di daerah Temerloh, Bera dan Pekan, iaitu seramai 435 orang daripada 106 keluarga.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A. Rahman berkata, sehingga pukul 8 pagi ini, di Temerloh mangsa yang masih berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Semantan iaitu seramai 210 orang daripada 52 keluarga.
“Di Bera, jumlah mangsa berada di PPS seramai 35 daripada 10 keluarga, iaitu 27 orang mangsa daripada tujuh keluarga masih ditempatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Buntar yang dibuka sejak Jumaat lalu dan sembilan orang (tiga keluarga) di PPS SK Kerayong.
“Bagi daerah Pekan, jumlah mangsa di PPS di SK Sinar Mutiara, Pekan kekal seramai 142 orang mangsa daripada 36 keluarga sehingga pukul 8 malam ini,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Che Adam berkata, paras air Sungai Triang, Bera masih menunjukkan trend amaran berbahaya di paras ketinggian 34.54 meter pada pukul 8 pagi ini, manakala lima batang sungai di daerah Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Rompin dalam peringkat amaran pertama serta lima lagi waspada.
Beliau meminta penduduk di pesisir Sungai Pahang dan anak sungai perlu berwaspada serta kerap mendapatkan maklumat yang sahih tentang keadaan banjir daripada anggota APM yang bertugas dan pihak berkuasa beruniform lain.
“Penduduk perlu berwaspada kerana cuaca masih tidak menentu lebih-lebih lagi hujan dan ribut petir di kebanyakan tempat bermula pagi, petang hingga ke malam,” katanya. – UTUSAN