JKDM disaran bina bumbung letak kenderaan disita - Utusan Malaysia

JKDM disaran bina bumbung letak kenderaan disita

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) disaran membina bumbung untuk menempatkan kenderaan yang disita bagi mengelak nilai kenderaan tersebut susut apabila dilelong di pasaran.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, nilai jualan kenderaan yang tidak berada di bawah bumbung lebih rendah berbanding kenderaan yang diletakkan di kawasan bumbung.

“Ketika lawatan saya ke tiga Pejabat Penguatkuasaan Kastam di negeri ini dan Kelantan, saya diberitahu nilai kereta apabila dilelongkan adalah berbeza kerana bumbung dan tidak berbumbung.

“Nilainya mungkin susut dan berbeza berikutan kenderaan yang tidak berbumbung terdedah kepada hujan dan panas. Jadi, saya cadangkan supaya bumbung dibina bagi meletakkan semua kenderaan yang dirampas supaya nilai kenderaan itu tidak merosot apabila dilelong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Pejabat Kastam Daerah Kemaman di sini, hari ini.

Ahmad berkata, pembinaan bumbung tersebut juga sekaligus dapat menambah hasil kepada jabatan itu, selari dengan saranan kerajaan supaya jabatan itu menambah hasil dengan cara kreatif tanpa mengenakan cukai baharu kepada rakyat.

Menurutnya, pengurusan tertinggi JKDM juga diminta membuat penilaian mengenai kos dan perbezaan nilai kenderaan yang dilelong tiga kali setahun tersebut.

“Walaupun kita memerlukan kos dan pelaburan untuk buat bumbung bagi mengurangkan kesan susut nilai akibat hujan dan panas terhadap kenderaan, namun kita percaya impaknya tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, JKDM Terengganu merekodkan kutipan cukai lebih RM5.6 juta untuk tahun ini.

“Sebanyak 167 kes turut dicatatkan dengan rampasan barang bernilai lebih RM3.4 juta yang mana antara kes yang terbesar melibatkan kes rampasan rokok, kes mercun atau bunga api dan rampasan kenderaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya