JANGAN pinggirkan Kelantan. Itu antara harapan rakyat negeri itu kepada Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas diberi mandat mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Walaupun Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kalah teruk di negeri itu selepas semua 14 kerusi disapu bersih Pas, rakyat berharap Anwar dan jemaah menteri Kerajaan Perpaduan tidak ‘menghukum’ keputusan yang dibuat mereka.
Keputusan itu wajar dihormati kerana ia adalah sebahagian daripada prinsip demokrasi yang mana rakyat bebas memilih mana-mana parti yang difikirkan untuk menjadi kerajaan, baik di peringkat negeri mahupun Persekutuan.
Walaupun ramai calon PH hilang wang deposit, sekurang-kurangnya boleh ‘berbangga’ rakyat serambi Mekah sudah mulai menerima kehadiran mereka walaupun lebih kenal simbol bulan (Pas) dan dacing (BN) sebelum ini.
Tidak terkecuali BN, walaupun tewas rata-rata penyokong mereka masih lagi percaya kepada parti itu yang merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan untuk membela nasib rakyat Kelantan.
Jika gabungan BN dan PH ini ‘berlapang’ dada dengan memberi khidmat terbaik kepada Kelantan, tidak mustahil mereka mampu mencuri dan menambah kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun depan.
Hal ini kerana BN sudah mempunyai enam kerusi pada PRU14. Misi itu tidak mustahil untuk direalisasikan jika kedua-dua parti berpegang kepada konsep dan semangat federalisme antara Kerajaan Persekutuan dan negeri terutama dalam aspek pembangunan dengan mengetepikan perbezaan ideologi politik.
Perbezaan ideologi itu perlu diketepikan dengan menjadikan kepentingan rakyat sebagai perkara utama bagi memastikan nikmat kemakmuran negara dikongsi secara bersama.
Sekiranya berjalan sempurna, situasi ini pasti menimbulkan rasa ‘gerun’ buat Pas bagi memastikan teraju pentadbiran negeri tidak bertukar tangan kepada PH-BN.
Oleh itu, Pas tidak boleh terlalu bermegah dengan keputusan 14-0 menyapu bersih semua kerusi Parlimen pada PRU15 kerana situasi PRN pastinya berbeza.
Semua itu terletak di tangan rakyat untuk membuat keputusan kekal atau tukar. – UTUSAN











