HULU SELANGOR: Jalan berdekatan lokasi tanah runtuh yang meragut 31 nyawa dalam kejadian pada 16 Disember lalu didapati tidak selamat dan berisiko runtuh jika dilalui kereta atau kenderaan berat.
Malah sebahagian struktur jalan berkenaan yang kini ditutup untuk laluan awam boleh dilihat secara mata kasar retak dan berpasir sekali gus berisiko kepada runtuhan semula pada bila-bila masa jika tidak diperbaiki dengan segera ditambah pula hujan lebat sejak kebelakangan ini.
Menurut kontraktor dilantik untuk kerja-kerja mengorek timbusan runtuhan yang mahu dikenali sebagai Ezan, 40, berkata, dia tidak menolak kemungkinan kedudukan lereng jalan raya lemah mendorong kepada runtuhan berlaku pada awal pagi 16 Disember.
Dia yang juga penduduk Batang Kali mengakui, sejak kebelakangan ini berlaku hakisan dan runtuhan kecil membabitkan kawasan berhampiran termasuk bahu jalan raya.
“Sepanjang dua minggu melakukan kerja pengorekan, saya dapati kedudukan tanah amat lemah dan berselut apatah lagi ketika hujan.
“Nak kata punca runtuhan? Susah nak cakap tetapi secara mata kasar pembinaan jalan raya ini sejak dahulu didakwa tidak dilakukan dengan betul.
“Namun paling penting baik pulih jalan ini, kalau tidak lambat laun akan menyebabkan hakisan dan tidak mustahil boleh jadi lebih teruk daripada sebelum ini,” katanya ketika ditemui semalam.
Dalam tragedi 2.42 pagi 16 Disember lalu itu, berlaku runtuhan tanah setinggi 70 meter di tapak perkhemahan yang terletak berhampiran Gohtong Jaya.
Seramai 92 mangsa terbabit dalam insiden itu dan daripada jumlah itu, 61 dilaporkan selamat manakala 31 lagi disahkan terkorban.
Pada masa sama, seorang penyelia ladang tersebut ditemui berkata, kejadian tanah runtuh di kawasan itu adalah yang pertama kali berlaku sepanjang bekerja di sana melainkan hakisan dan keretakan jalan raya kawasan berdekatan.
Dakwanya, longkang bersebelahan jalan raya berkenaan didapati berlubang dan dipercayai dimasuki air sekali gus menjadi punca runtuhan.
“Rasa agak terkejut juga sebab tidak pernah ada kejadian tanah runtuh di sekitar sini sebelum ini. Kalau ada pun, berlaku di kawasan lain yang jauh dari ladang dan tapak perkhemahan ini, ” katanya.
Tambahnya, dia bersyukur kerana 13 pekerja kebun terselamat dalam insiden itu.
Terdahulu tinjauan mendapati laluan ke lokasi hanya ditutup dengan batu konkrit tanpa pengawasan pihak berkuasa namun tiada orang awam memasukinya kecuali kontraktor pembersihan yang dilantik pihak berkuasa. – UTUSAN










