IWK Eco Park @ Pantai Dalam: Kehijauan di tengah kota

IWK Eco Park @ Pantai Dalam: Kehijauan di tengah kota

IWK menaik taraf kemudahan di IWK Eco Park @ Pantai Dalam menjadi kemudahan sukan dan riadah selain menyediakan kemudahan mengadakan majlis keraian, karnival, bengkel, mesyuarat dan hari keluarga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJADI salah satu kota tumpuan di Lembah Klang dengan jumlah penduduk sekitar dua juta orang, Kuala Lumpur cukup terkenal dengan pelbagai lokasi pelancongan.

Kawasan rekreasi turut tidak ketinggalan menjadi pilihan warga kota serta pelancong bagi meluangkan masa mereka menikmati keindahan alam di samping menjalankan aktiviti riadah bersama keluarga.

Bagi mereka yang menggemari kawasan beriadah yang penuh dengan kehijauan, IWK Eco Park bertempat di Pantai Dalam merupakan pilihan tepat dan bijak memandangkan pusat sukan dan rekreasi ini menawarkan pelbagai pengalaman hebat serta kemudahan buat pengunjungnya.

Diuruskan oleh syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd., taman ini dipenuhi hampir 2,600 batang pokok terdiri daripada pokok hiasan, herba dan hutan.

Suasana menghijau, saujana mata memandang ini turut menjanjikan pemandangan redup yang mempesonakan kepada pengunjung di samping menyegarkan minda dan badan mereka.

Bunyian deruan air daripada air terjun serta kocakan tasik buatan manusia yang tenang menggamit pengunjung sama ada untuk bersiar-siar atau beriadah.

Lebih menarik, selain kemudahan sukan dan riadah, taman eko ini juga menyediakan kemudahan mengadakan majlis keraian, karnival, bengkel, mesyuarat dan hari keluarga bagi syarikat korporat atau agensi kerajaan.

Bagi anak muda yang inginkan latar belakang ‘Instagram’, mereka boleh mengadakan ‘glam piknik’ di sini dengan menyewa peralatan berkelah yang menarik untuk perkongsian di laman sosial.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat IWK, Wan Esuriyanti Wan Ahmad berkata, IWK Eco Park @ Pantai Dalam dibuka kepada orang ramai sejak Oktober lalu bagi beriadah serta menjalankan majlis keraian dan sukan.

Katanya, kawasan taman ini terletak di atas Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2, iaitu sebuah loji pertama yang beroperasi di bawah tanah dengan keupayaan rawatan air sisa kumbahan bagi 1.43 juta penduduk setara.

“Biarpun proses rawatan air kumbahan terletak di bawah tanah, permukaan atasnya iaitu sekitar seluas 12 hektar telah menjadi sebuah taman yang kini dipenuhi flora dan fauna serta keredupan pokok-pokok hutan.

“IWK juga membelanjakan kos kira-kira RM2 juta bagi kerja-kerja naik taraf kemudahan di taman ini,” katanya.

Menurutnya, IWK turut komited untuk mengekalkan kehijauan kerana itu, salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporatnya telah merangkumi program menanam pokok hutan di kawasan yang dinamakan ‘Khazanah Rimba’ di taman ini.

“Inisiatif Khazanah Rimba merupakan usahasama bersama Persatuan Pencinta Alam (MNS) melalui kempen ‘Adopt a Tree’, IWK dan MNS yang mendapat sumbangan orang ramai untuk menanam kira-kira 1,000 pokok hutan pelbagai spesies seperti Terap, Sentol, Merawan Bunga, Katol, Tampoi, Keruing, Merbau, Belimbing Gunung,” katanya.

Bagi mereka yang berminat untuk menyewa atau mendapatkan keterangan lanjut, boleh hubungi talian 03-22420420 atau e-mel kepada [email protected].

UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya