PETALING JAYA: Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa tidak dilihat memahami kumpulan sasaran dalam konteks menangani kemiskinan haid apabila memberikan tuala wanita percuma bermula di pejabatnya terlebih dahulu.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, meskipun usaha itu baik dan wajar disokong serta patut dijadikan program nasional sebaliknya tidak relevan memulakan pemberian tuala wanita percuma di tandas Pejabat Menteri.
“Yang memerlukan ialah golongan wanita tidak berkemampuan, bukannya mereka yang duduk di Pejabat Menteri. Kalau Menteri bagi kepada pegawai Pejabat Menteri yang makan gaji beribu-ribu ringgit sebulan, itu salah guna kuasa. Takkan nak suruh warga berpendapatan rendah panjat ke tandas Pejabat Menteri?
“Ini masalahnya bila Menteri Kesihatan PH-BN dari golongan kayangan. Langsung tak faham siapa kumpulan sasaran program bantuan untuk rakyat miskin. Apalah malang nasib negara kita dapat Menteri Kesihatan kayangan macam ni?” Soal beliau dalam Facebook hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Dr. Zaliha bahawa kementeriannya akan memulakan program pemberian tuala wanita secara percuma bagi menyokong usaha menangani kemiskinan haid dalam negara.
Beliau berkata, program berkenaan akan dimulakan di Pejabat Menteri sebelum diperluas ke kementerian-kementerian lain dan agensi yang berkaitan. – UTUSAN