Harap Ahmad Zahid tidak lupa Orang Asli di Gua Musang

Harap Ahmad Zahid tidak lupa Orang Asli di Gua Musang

MASYARAKAT Orang Asli berharap Kerajaan Perpaduan dapat menyelesaikan masalah jalan di kawasan perkampungan mereka di Gua Musang, Kelantan. - FOTO/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli di sini berharap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah tidak melupakan mereka walaupun Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan, Bidi Ronggeng berkata, pihaknya menyambut baik pelantikan Ahmad Zahid dan berharap pemimpin nombor dua negara itu dapat meneruskan pelan pembangunan kepada masyarakat berkenaan.

Menurutnya, pada masa sama masyarakat Orang Asli berharap kerajaan baharu di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan terus berusaha membela nasib mereka yang tinggal di pedalaman terutama berkait pembangunan infrastruktur seperti jalan perhubungan.

“Kami berharap kerajaan baharu dapat menyelesaikan masalah serta menyiapkan segera jalan perhubungan pos penempatan yang masih menggunakan jalan balak seperti di Pos Balar, Pos Belatim, Pos Hau, Pos Bihai, Pos Gob, Pos Simpor, Pos Pasik dan Pos Tohoi.

“Sebelum ini penduduk di kawasan berkenaan sentiasa bergadai nyawa apabila melalui jalan balak yang rosak terutamanya ketika musim tengkujuh,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, penghulu Kampung Perawas, Pos Balar, Alek Busu, 60, memberitahu, pihaknya berharap Projek Pembangunan Bersepadu di kawasan perkampungan Orang Asli Gua Musang termasuk pembinaan jalan dapat dilaksanakan secepat mungkin. 

Katanya, sebelum ini sudah banyak kali penduduk mengemukakan aduan kepada pihak berwajib mengenai masalah jalan rosak. 

“Kami berharap suatu hari nanti Timbalan Perdana Menteri dapat turun padang untuk meninjau sendiri keadaan jalan balak dan kesusahan yang dihadapi oleh kami.

“Bagi kami jalan perhubungan amat pentinglah kerana inilah laluan keluar masuk kami setiap hari untuk hantar pesakit dan pelajar sekolah tetapi laluan itu sentiasa rosak lebih 50 tahun lalu sehingga menjejaskan aktiviti harian,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN