Hak negeri tentukan tarikh PRN - Pas - Utusan Malaysia

Hak negeri tentukan tarikh PRN – Pas

TAKIYUDDIN Hassan ketika menyampaikan ucapan aluan untuk meraikan hadirin di Majlis Jamuan Kesyukuran Parlimen Kota Bharu di Dataran Masjid Muhammadi, Kota Bharu hari ini. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pas menegaskan kuasa membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah hak Sultan atau Yang Dipertuan Negeri atas nasihat Menteri Besar atau Ketua Menteri di negeri masing-masing bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bagaimanapun berkata, keputusan itu terpulang kepada kerajaan negeri masing-masing untuk menentukan tarikh pembubaran DUN dan PRN.

“Cuma sekarang ini Pas bersama PN mempunyai empat negeri yang diterajui, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Kita akan bincangkan bila tempoh sesuai untuk diadakan PRN sebelum tamat tempoh.

“Kita akan mempertimbang juga saranan untuk PRN diadakan serentak di enam negeri serta dibuat sebelum musim haji,” katanya pada sidang akhbar semasa Majlis Jamuan Kesyukuran Parlimen Kota Bharu di Dataran Masjid Muhammadi di sini hari ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu turut memaklumkan, Pas akan mempertimbang cuti umum terdekat seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha selain situasi politik semasa.

Katanya, setakat ini Pas tidak membuat sebarang keputusan PRN di negeri-negeri berkenaan.

“Kita akan mengumpulkan semua pandangan dan cari tempoh paling sesuai dari segi kerajaan dan juga situasi politik semasa,” jelasnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan PRN di enam negeri perlu diadakan awal untuk mengelak ia bertembung dengan perayaan dan pelaksanaan musim haji jika dilakukan selepas Mac tahun depan.

Tarikh perayaan Aidilfitri dijangka pada 22 April 2023 bergantung kepada pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja manakala Hari Raya Aidiladha pula diunjurkan pada 29 Jun 2023.

Tarikh sambutan Tahun Baharu Cina pula adalah pada 22 Januari 2023. Ia menjadikan tempoh terbaik mengadakan PRN adalah pada Februari atau Mac tahun depan.

Secara kelaziman, kumpulan petugas Lembaga Tabung Haji dan juga pasukan Kementerian Kesihatan akan berlepas bermula pada 2 Syawal bagi membuat persiapan awal di Tanah Suci.

Kebiasaannya kumpulan pertama bakal jemaah akan bertolak dari tanah air pada 1 Zulkaedah dengan penerbangan sulung untuk musim haji tahun depan dijadualkan pada 21 Mei 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya