GEORGETOWN: Beberapa lokasi pelancongan di kawasan pusat bandar di negeri ini sesak dan menjadi tumpuan pengunjung sama ada pelancong tempatan dan antarabangsa sejak bermulanya cuti sekolah dua minggu lalu dan dijangka sehingga menjelang ambang tahun baharu 2023, Ahad ini.
Tinjauan di kawasan-kawasan tumpuan seperti di Lebuh Campbell, Lebuh Tamil dan Pasar Chowrasta mendapati kawasan berkenaan sesak dan padat dengan pengunjung.
Selain itu, kawasan Lebuh Armenian yang merupakan tempat tumpuan bagi penggemar seni mural turut dipenuhi golongan muda yang mahu merakamkan gambar kenangan di beberapa lokasi mural yang popular di media sosial.
Seorang peniaga restoran di kawasan pusat bandar, Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan,45, berkata, peningkatan pengunjung terutama domestik dapat dilihat bermula awal bulan ini memandangkan cuti persekolahan sehingga hujung tahun ini.
”Sepanjang cuti sekolah ini, kawasan pusat bandar tidak putus-putus dikunjungi pengunjung dan ia juga menjadi bonus buat kami para peniaga.
”Pengunjung dijangka bertambah pada cuti hujung minggu ini ditambah dengan cuti tahun baharu 2023, jadi kami para peniaga memang sudah bersiap sedia menerima kedatangan pengunjung,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Seorang lagi peniaga di kawasan Lebuh Armenian, Patricia Yeoh, 35, berkata, kedatangan pengunjung yang ramai sempena cuti persekolahan sudah dapat dijangka dan situasi seumpama itu sangat ditunggu-tunggu.
“Situasi sesak dan padat dengan pengunjung merupakan saat yang dinantikan peniaga kerana ketika pandemik Covid-19, ramai peniaga di kawasan ini terjejas.
“Walaupun ramai peniaga di kawasan ini turut menjual cenderamata seperti kedai saya tetapi lot kedai masing-masing sentiasa dipenuhi pembeli
“Saya membuka kedai pada pukul 11 pagi tadi dan sudah ramai pengunjung datang ke kawasan ini sama ada dari dalam negeri atau luar negeri,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pengunjung tempatan, Ariffin Aziz, 46, berkata, dia singgah ke Lebuh Armenian bersama keluarga untuk merakamkan gambar kenangan memandangkan kawasan itu tular di media sosial.
“Walaupun keadaan agak sesak dan sukar dapatkan tempat meletak kereta, kami tetap singgah dan membeli sedikit buah tangan,” katanya. – UTUSAN










