PETALING JAYA: Gelagat buruk ahli Parlimen yang terjerit-jerit hingga mengeluarkan perkataan kurang sopan tidak sewajarnya dijadikan kebiasaan di Dewan Rakyat.
Kekecohan yang ditimbulkan itu bukan sahaja mencemari kemuliaan dewan, malah memberi persepsi negatif dalam kalangan mereka yang menonton persidangan berkenaan.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad berkata, satu perubahan perlu dilakukan kerana masyarakat dan pelabur luar menghakimi pemimpin dan negara berdasarkan situasi sepanjang sesi itu berlangsung.
“Bagi saya sendiri sebagai ahli Parlimen muda, perkara yang negatif dan tidak baik jangan kita lakukan.
“Mungkin ada pendapat mengatakan kalau kita terjerit-jerit, kita boleh terkenal atau tular, tetapi sebenarnya itu bukan normalisasi yang sepatutnya dilakukan ahli Parlimen,” katanya baru-baru ini.
Persidangan Dewan Rakyat pertama di bawah Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlangsung selama dua hari pada 19 dan 20 Disember lalu.
Antara yang menjadi tumpuan ialah gelagat Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzah dan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim yang saling terjerit dan menuduh antara satu sama lain termasuk mengeluarkan perkataan beruk serta kera.
Sementara itu Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari berkata, kelantangan ahli Dewan Rakyat bukan alasan utama untuk mereka melanggar garis sempadan.
“Tegas itu penting dan lantang itu bagus. Tetapi kita ada garis panduan. Jangan melebihi garis sempadan.
“Perbezaan pendapat itu wajar dan biasa. Cuma kita perlu pegang kepada satu iaitu peraturan Dewan Rakyat.
“Setiap apa dilafazkan dalam dewan itu menggambarkan kemuliaannya dan martabat sebagai ahli Parlimen. Apa bezanya kemuliaan Dewan Rakyat dengan kedai kopi kalau cara berbahas sama? Jadi kita perlu berubah,” jelasnya. – UTUSAN










