PETALING JAYA: Terletak kira-kira empat kilometer (km) daripada Genting Highlands, Father’s Organic Farm (FoF) di Batang Kali, Hulu Selangor, dekat sini adalah antara destinasi tumpuan penggemar aktiviti luar terutama mereka yang ingin berkhemah dalam suasana yang selesa dan premium.
Pemandangan yang cantik, pohon menghijau dengan suasana nyaman serta udara yang dingin dikatakan menjadi tarikan utama pengunjung untuk meluangkan masa bercuti bersama keluarga di FoF.
Carian Utusan Malaysia di laman Facebook FoF mendapati, kawasan berkenaan pada mulanya adalah kebun sayur dipercayai beroperasi sejak 2017 sebelum menjadi kawasan perkhemahan.
Sejak dibuka sebagai kawasan perkhemahan, FoF terus mendapat sambutan sehingga hari ini kerana keindahannya yang terletak di lereng bukit selain terdapat air terjun berhampiran.
Difahamkan, FOF menyediakan tapak perkhemahan bagi aktiviti berkemah di mana pengunjung boleh membawa khemah sendiri atau menyewa dengan FoF.
Terdapat tiga tapak perkhemahan yang ditawarkan kepada pengunjung iaitu ‘River Farm Campsite’, ‘Farm New Campsite’ dan ‘HillTop Campsite’.
Setiap tapak perkhemahan ini mempunyai kemudahan sendiri termasuk tandas, bilik mandi, sinki dan teduhan buat pengunjung yang berkhemah.
Di samping itu, FoF membawa kelainan dengan menyediakan pengalaman berkhemah tanpa membawa peralatan perkemahan buat pengunjung.
Semua kelengkapan berkhemah termasuk khemah, tilam, bantal, selimut, peralatan memasak, lampu, dapur, gas, meja dan kerusi disediakan bagi pengunjung yang memilih kelainan tersebut.
Selain dibuka untuk aktiviti perkhemahan, FoF turut menerima pengunjung yang ingin melawat kawasan rekreasi tersebut dengan menawarkan pelbagai aktiviti menarik.
Pengunjung ditawar mengadakan lawatan ladang sayur serta membeli tanaman organik di ladang berkenaan selain memberi makan kepada ikan di kolam serta ayam yang diternak.
Tidak ketinggalan pengunjung ditawarkan aktiviti meredah hutan sehingga ke air terjun berhampiran sejauh 1.5km yang mengambil masa sekitar 15 minit.
Maka tidak hairanlah mengapa FoF menjadi antara kawasan tumpuan ramai untuk berkunjung dan meluangkan masa berkhemah bersama keluarga dan rakan-rakan.
Jumaat lalu, 24 orang dilaporkan terkorban dalam kejadian tanah runtuh di atas tapak perkhemahan berkenaan.
Difahamkan, daripada 94 mangsa, antara yang terkorban ialah penghuni perkhemahan dari Melaka dan Kuala Lumpur manakala yang terselamat pula terdiri daripada pekerja ladang tersebut termasuk 13 warga Myanmar. – UTUSAN










