ALOR SETAR: Dua lelaki yang maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Jalan Jeniang-Kalai, Gurun malam kelmarin dipercayai terlibat dalam kes samun warga emas secara bersiri di beberapa daerah sejak Mac lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, suspek berusia 61 tahun yang dipercayai dalang kes tersebut turut mempunyai 64 rekod jenayah lampau termasuk 17 kes samun, dadah (2), jenayah harta benda (20) dan Akta Bahan Kakisan/Senjata Terlarang (3).
“Suspek juga mempunyai 16 rekod dikehendaki bersangkut kes samun berkumpulan dan bersenjata. Operasi khas yang dilakukan ini ekoran terdapat peningkatan kes samun di kawasan Sungai Petani dan Kulim melibatkan mangsa yang merupakan pesara dan orang tua.
“Mangsa disamun dengan menggunakan senjata terutama parang. Ekoran itu kita melancarkan operasi sehingga tertumpasnya suspek kelmarin,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.
Wan Ahmad berkata, insiden berbalas tembakan itu berlaku pada pukul 11 malam ketika sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kedah membuat rondaan pemantauan sebelum melihat suspek dan rakan subahatnya yang berusia 48 tahun dalam keadaan mencurigakan.
“Suspek yang memandu kereta Iswara berwarna kelabu diarah untuk berhenti tetapi tidak dipatuhi dan enggan memberi kerjasama menyebabkan pihak polis bertindak memintas kenderaan tersebut.
“Ketika pemeriksaan hendak dijalankan, terdengar bunyi tembakan dan percikan api dari arah pemandu dan penumpang hadapan kereta tersebut menyebabkan berlaku berbalas tembakan oleh polis untuk mempertahankan diri,” katanya.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut mendapati seorang daripada anggota polis terkena tembakan yang mengena pada baju kalis peluru yang dipakainya.
“Pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek menemukan dua pucuk pistol jenis revolver .38, sebilah parang, sebilah pedang, kuku kambing, pemutar skru dan topeng muka penuh serta sepasang jaket yang dipercayai digunakan untuk menyamun,” katanya.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (Cuba Bunuh Orang), Seksyen 8 Akta Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
Dengan tertumpasnya kumpulan penjenayah ini, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 16 hingga 20 kes samun bersenjata melibatkan warga emas atau pesara.
“Polis percaya dua suspek ini tidak bergerak bersendirian dan kita jangka ada lagi saki bakinya kerana di tempat kejadian samun tersebut terdapat lima atau enam penjenayah. Kita akan buat tindakan susulan memburu dan menangkap mereka,” katanya. – UTUSAN