LUMUT: Dua lelaki maut manakala seorang cedera apabila kereta dinaiki terlibat kemalangan di Kilometer 208.6 arah utara Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) dekat sini pagi ini.
Dalam kejadian tersebut, dua penumpang kereta jenis Toyota Vios maut dengan seorang daripadanya tercampak keluar dari kenderaan itu dan terperosok ke dalam longkang di tengah-tengah pembahagi jalan lebuh raya tersebut.
Seorang lagi penumpang kereta itu tersepit dalam kenderaan juga maut di lokasi kejadian.
Sementara itu, pemandu Toyota Vios juga tersepit di tempat duduk mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Seri Manjung (HSM) untuk menerima rawatan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah lagi kenderaan iaitu Proton Saga yang dipandu seorang lelaki tetapi tidak mengalami kecederaan.
Jelasnya, kejadian itu mengakibatkan kereta Toyota Vios remuk teruk di bahagian hadapan dan tersangkut atas pembahagi jalan di tengah-tengah lebuh raya itu.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.35 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan bergegas ke lokasi.
“Sebaik tiba, didapati terdapat dua mangsa tersepit dalam Toyota Vios dan seorang lagi mangsa berada dalam longkang di tengah-tengah WCE,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta dan membantu mengeluarkan mangsa yang terjatuh ke dalam longkang.
Jelas beliau, semua mangsa kemudian diletakkan di atas pengusung dengan yang cedera dihantar ke HSM menggunakan ambulans manakala yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Beliau memberitahu, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Ellya Syaril Tahrim itu tamat sepenuhnya pada pukul 8.46 pagi. – UTUSAN