Disember bulan paling sibuk buat industri perhotelan Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Disember bulan paling sibuk buat industri perhotelan Pulau Pinang

SEKTOR pelancongan dan perhotelan di Pulau Pinang paling sibuk sepanjang bulan ini berikutan peningkatan jumlah pelancong yang bercuti ke negeri itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Musim cuti sekolah serta cuti perayaan pada hujung tahun ini menjadikan Disember bulan paling sibuk buat sektor pelancongan dan industri perhotelan di Pulau Pinang.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, Tony Goh berkata, sepanjang Disember ini tempahan bilik hotel terutama di sekitar pantai peranginan di negeri ini telah mencecah lebih 80 peratus.

”Sejak dahulu sebelum pandemik Covid-19, Disember merupakan bulan yang paling bertuah untuk kakitangan hotel kerana banyak tempahan bilik diterima.

“Sekarang kesibukan ini kembali semula selepas ekonomi pulih dan orang ramai yakin untuk melancong semula,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Tony, tempahan bilik hotel juga dijangka terus meningkat menjelang perayaan Krismas serta cuti hujung tahun nanti.

Malah ujar beliau, pihak industri berkaitan perhotelan juga telah bersiap sedia menerima jumlah kehadiran pelancong yang ramai menjelang hujung tahun ini.

“Biarpun kita masih berdepan dengan masalah kekurangan pekerja tempatan, namun kita masih mampu memberikan perkhidmatan terbaik buat pengunjung,” katanya.

Tambah beliau, selain tempahan bilik hotel, tempahan dewan hotel untuk majlis perkahwinan turut meningkat sepanjang bulan ini.

”Faktor cuti sekolah memang memainkan peranan penting kerana banyak majlis perkahwinan pelbagai kaum berlangsung bulan ini.

”Banyak dewan di hotel telah penuh bagi tempahan untuk majlis-majlis perkahwinan dan ini menjadi penyumbang kepada perkembangan ekonomi industri perhotelan,” katanya.

Dalam pada itu, ujar beliau, pelbagai acara dan program sama ada bertaraf domestik atau antarabangsa yang dirancang di Pulau Pinang turut merancakkan lagi sektor pelancingan dan perhotelan di negeri itu.

”Kami berharap lebih banyak acara yang bertaraf antarabangsa dianjurkan di Pulau Pinang supaya industri ini lebih berkembang maju pada masa depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.