Dakwaan LFL tidak adil - Utusan Malaysia

Dakwaan LFL tidak adil

SAIFUDDIN Nasution Ismail bercakap kepada media selepas mengadakan sesi lawatan kerja ke Ibu pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman. - UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenyataan Lawyers for Liberty (LFL) yang mendakwa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak mengambil tahu ‘krisis makanan dan kesihatan’ di Pusat Tahanan Imigresen Kimanis di Sabah disifatkan tidak adil.

Perkara itu ditegaskan sendiri oleh Saifuddin yang meminta LFL tidak cepat melenting dan membuat kesimpulan awal dalam isu tersebut.

Katanya, pihak beliau perlu mendengar semua taklimat oleh pihak-pihak berkaitan sebelum tindakan selanjutnya.

“Saya baru hari kelima masuk ke pejabat dan adalah sangat tidak adil LFL membuat judgement (menghukum) sebegitu dan itu respons pertama saya kepada mereka, berilah saya peluang untuk mendengar semua taklimat.

“Siapa yang mengenali saya, mereka akan akui saya sangat terbuka dalam menerima teguran dan pandangan. Itu cara kepimpinan saya sejak dahulu sehingga kini, saya sanggah kenyataan yang dikeluarkan LFL itu.

“Pihak LFL harus lihat rekod saya yang lepas dan jangan buat kesimpulan awal. Dia (LFL) sendiri tak pernah mohon untuk jumpa saya, macam mana dia kata saya tak terima pandangan,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja di Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, sebagai menteri dan timbalan menteri yang memulakan tugas, adalah munasabah untuk pihaknya mendengar taklimat.

“Tentulah kami ada aspek yang akan kami bagi pandangan, namun buat masa ini kami mendengar.

“Kami akan berinteraksi dengan jabatan-jabatan berkaitan termasuk pihak imigresen yang mana kami akan berikan beberapa idea penambahbaikan,” tegasnya.

Semalam, Pengarah LFL, Zaid Malek dalam kenyataan mendakwa Saifuddin yang menafikan dakwaan tahanan di Depoh Imigresen Kimanis dilayan dengan teruk adalah tidak boleh diterima.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai amalan yang bertentangan dengan tadbir urus yang baik bagi Menteri Dalam Negeri untuk menolak terus aduan yang sangat serius.

Minggu lalu, satu klip video yang memaparkan tahanan di Depoh Imigresen Kimanis didakwa dilayan dengan teruk sehingga mengalami isu kesihatan telah tular di media sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN