PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan meminta orang ramai untuk terus mematuhi saranan dan nasihat kesihatan yang sering ditekankan sebelum ini dalam usaha mengekang jangkitan wabak Covid-19.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, sejak 1 April lepas, Malaysia telah berada dalam Fasa Peralihan ke endemik susulan keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam.
Beliau berkata, peralihan fasa itu juga disebabkan oleh kejayaan program vaksinasi Covid-19 di seluruh negara.
“Bagaimanapun, orang ramai dinasihat agar terus elakkan 3S ( kawasan sesak dan sempit serta berbual pada jarak dekat) dan amalkan 3W (kerap mencuci tangan dengan air dan sabun; memakai pelitup muka serta mematuhi amaran kementerian yang berkonsep peringatan).
“Selain itu, amalkan TRIIS (ujian saringan, melaporkan hasil ujian saringan, menjalani kuarantin, memaklumkan pada kontak rapat jika positif dan mendapatkan rawatan segera) dan jalani ujian Covid-19 sekiranya bergejala.
“Individu positif Covid-19 Kategori 1 dan 2A serta bukan berisiko tinggi (berumur bawah 60 tahun dan tidak mempunyai komorbid), tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), sebaliknya hanya perlu melakukan pemantauan kendiri melalui Health Assessment Tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera.
“Sistem pesanan ringkas (SMS) atau panggilan daripada perkhidmatan Automated Voice Recording (robocall) akan diterima sekiranya belum atau tidak menjalankan pemantauan kendiri setiap hari,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Noor Hisham, individu yang positif Covid-19 Kategori 2A dan ke atas atau mempunyai gejala yang semakin teruk dikehendaki hadir ke CAC atau hospital terdekat bagi pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon daripada CAC.
Seterusnya, beliau berkata, individu yang belum menerima dos penggalak vaksin Covid-19 dinasihatkan agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan orang tersayang.
“Kementerian Kesihatan akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan Covid-19 di dalam dan luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Kementerian Kesihatan akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan, kes harian Covid-19 mencatatkan penurunan dengan 609 kes baharu dilaporkan selain tiada kematian direkodkan.
Menurut data di laman web KKMNOW, sehingga tengah malam tadi, sebanyak 13,997 kes aktif Covid-19 dilaporkan, termasuk 43 pesakit yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), dengan 19 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Daripada jumlah kes aktif itu, 725 pesakit menerima rawatan di hospital dengan 13,229 pesakit lagi menjalani kuarantin kendiri di rumah. –UTUSAN