Ciuman, kelakuan manja arwah anak jadi kenangan terakhir ibu

Ciuman, kelakuan manja arwah anak jadi kenangan terakhir ibu

SAFINAH Zakaria menunjukkan gambar kenangan bersama Muhammad Izani Mohd. Tuah yang maut kemalangan di Sungai Petani. – UTUSAN/NUR SYAZWANA MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Salah seorang mangsa nahas yang mengorbankan tiga nyawa me­nunjukkan perubahan sikap seolah-olah tahu akan pergi selama-lama­nya sebelum terlibat kemalangan maut di Kilometer 63.5, Jalan Alor Setar – Butterworth, di sini awal pagi semalam.

Safinah Zakaria, 48, ibu kepada Allahyarham Muhammad Izani Mohd. Tuah, 15, berkata, anaknya berkelakuan manja dengan memeluk dan men­cium pipinya sebelum tidur pada ma­lam Sabtu lalu.

Ibu tunggal yang menetap di Taman Keladi, di sini berkata, Muhammad Izani tinggal bersama sepupunya di Taman Semarak kerana bekerja sambilan di sebuah kedai makan di kawasan itu.

Menurutnya, ketika kejadian dia berada di Alor Setar sebelum mendapat panggilan daripada sepupu arwah mengenai kejadian yang menimpa anak bongsu daripada empat beradik itu.

“Apabila menghubungi tele­fon bimbit anak, ada individu tidak dikenali menjawab dan meminta saya datang ke lokasi melihat keadaan anak yang dikatakan sudah meninggal dunia kerana cedera parah di kepala,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi semalam, tiga remaja maut, manakala dua lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan.

Selain Muhammad Izani, dua lagi yang maut ialah Muhammad Aiman Ahmad Rosdi dan Mohd. Iman Mohd. Akhir yang kedua-duanya berusia 17 tahun. Dua lagi rakan mereka, Muhammad Zulhakim Zulkhairi, 17, parah dan kini dirawat di Zon Merah HSAH, manakala Alif Danial Abdul Aziz, 15, mengalami ce­dera ringan.

Kata Safinah, dia tidak menyangka kelakuan manja Muhammad Izani itu akan menjadi kenangan terakhir buatnya namun dia reda dengan ketentuan Ilahi dan berharap anaknya ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

Katanya, mereka kini sedang menunggu proses bedah siasat sebelum jenazah anak­nya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit, Sungai Pasir sebaik sahaja selesai kesemua proses kelak.

Sementara itu, bapa kepada Muhamad Aiman, Ahmad Rosdi Abd. Rahman, 50, berkata, sebelum kejadian arwah anak­nya bersikap pendiam dan lebih banyak menyendiri.

Katanya, sebelum kejadian, Muhammad Aiman keluar rumah dengan memandu kereta Honda Civic milik abangnya tanpa memberitahu apa-apa dan hanya memaklumkan keluar makan bersama kawan-kawan ketika dihubungi abangnya.

“Arwah yang juga anak kelima daripada tujuh beradik sebelum ini manja dengan arwah ibunya, namun selepas isteri saya meninggal dunia akibat Covid-19 tahun lalu, dia akrab dengan adik- beradik lain ter­utama dua kakaknya,” katanya.

“Muhammad Aiman sudah tidak bersekolah dan kini membantu bapa saudaranya berniaga buah di Tikam Batu,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN