SETIU: Seorang buruh terselamat daripada maut setelah rumah didiami runtuh dalam kejadian ribut di Kampung Tengah Mengabang Telipot, di sini semalam.
Mahadi Jusoh, 51, berkata, sebelum kejadian dia terdengar bunyi deruman angin yang kencang sebelum tiba-tiba empat penjuru dinding rumahnya runtuh kira-kira pukul 12.10 malam.
Menurutnya, situasi semakin cemas sebaik bekalan elektrik di rumahnya itu terputus menyebabkan keadaan menjadi gelap ketika dia sedang mencari jalan keluar.
“Sewaktu kejadian saya baru hendak tidur namun dikejutkan dengan bunyi deruman kuat seperti kipas kapal terbang dan saya menyangkakan cuma atap rumah yang terbang.
“Sebaliknya dinding rumah runtuh sehingga terperangkap dan saya hanya fikirkan nyawa yang mungkin melayang. Mujur usaha saya keluar dari struktur runtuhan melalui pintu dapur berjaya.
“Sebaik keluar saya terus mencari tempat berteduh di rumah arwah ibu yang terletak bersebelahan dan saya masih trauma dengan kejadian itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurut Mahadi lagi, musibah yang menimpa rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang diduduki 13 tahun lalu itu turut mengakibatkan kerugian hampir RM50,000.
Turut musnah dalam kejadian kepala angin itu adalah barangan elektrik, perabot dan sebuah motosikal selain menyebabkan struktur atap di dua buah rumah bersebelahan rosak.
Mahadi berkata, fenomena itu merupakan kali pertama dialaminya sejak mendiami kampung berkenaan lebih empat dekad lalu menyebabkannya masih terkejut dengan pengalaman menakutkan itu.
“Kejadian ini berlaku begitu pantas tidak sampai lima minit dan ketika terperangkap saya hanya mampu berdoa sambil mencari jalan untuk keluar dari rumah.
“Saya juga risau sekiranya perkara lebih buruk menimpa seperti kebakaran kerana bekalan elektrik terputus atau ditimpa batu runtuhan menyebabkan saya semakin panik.
“Buat masa ini saya tumpang menetap di rumah arwah ibu yang didiami kakak dan berharap dapat membina semula kehidupan serta rumah di tapak itu,” tambahnya. – UTUSAN










