Bukan 3 tetapi 6 warga Malaysia dijel di Bangladesh seludup emas

Bukan 3 tetapi 6 warga Malaysia dijel di Bangladesh seludup emas

HISHAMMUDDIN Hashim (tengah) menyerahkan memorandum kepada wakil pegawai Kementerian Luar Negeri, Nazeem Hambali (kanan) berhubung kes warga Malaysia yang dipenjara seumur hidup di Bangladesh di Wisma Putra. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Luar mengesahkan terdapat enam rakyat Malaysia yang menerima hukuman penjara di Bangladesh atas kesalahan jenayah penyeludupan emas.

Kesemua suspek itu dihukum seumur hidup dengan maksimum 30 tahun manakala tiga orang daripadanya melalui proses mahkamah sebelum disabitkan kesalahan pada 2018.

Trio berkenaan ditahan pihak berkuasa Bangladesh pada 2015 dan selain itu terdapat tiga lagi warga Malaysia yang juga sedang menjalani hukuman tersebut atas kes yang serupa.

“Pihak kementerian mengesahkan penerimaan memorandum Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) berhubung isu tersebut,” katanya menerusi kenyataan.

Kelmarin, Setiausaha Agung MHO menyerahkan memorandum berkenaan bagi memohon bantuan kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra bagi pembebasan tiga individu tersebut.

Mereka ialah Mohd. Azwan Salihin, Johari Harun dan Hee Wool Khing namun MHO kesal sebab banyak kes sama melibatkan rakyat negara lain pula dihukum penjara agak singkat.

Sikap dwistandard oleh pihak kehakiman Bangladesh itu amat mengecewakan keluarga mangsa sedangkan suspek hanya diupah dan bukannya membawa dadah atau senjata api.

Justeru, pihak MHO merayu Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir untuk cuba campur tangan menggunakan saluran diplomatik dan hubungan baik antara dua kerajaan.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, kesalahan penyeludupan emas di Bangladesh sebenarnya merupakan jenayah berat yang tertuduh disabitkan boleh dijatuhi hukuman mati.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sentiasa memberi perhatian serius dan memantau rapat perkembangan kes menerusi siri pertemuan dengan tahanan terbabit,” jelasnya lagi.

Pejabat misi diplomatik itu juga menghulurkan bantuan konsular selain turut mengadakan sesi perbincangan dengan pihak peguam yang dilantik dalam usaha bantuan sewajarnya.

Selain itu ujar Wisma Putra, mereka juga mengambil inisiatif dan tindakan proaktif melalui pertemuan peringkat tinggi dengan kerajaan Bangladesh bagi jalan penyelesaian terbaik.

Bahkan kerajaan Malaysia memandang serius isu keselamatan dan kebajikan rakyat yang berada di luar negara termasuk mereka dalam tahanan atas pelbagai kesalahan jenayah.

Pada masa yang sama tambahnya, dasar kerajaan Malaysia adalah tetap tegas sentiasa menghormati hak sistem perundangan dan kedaulatan undang-undang di negara lain.

Sehubungan itu, Wisma Putra menasihati warganegara Malaysia untuk peka dan turut menghormati peraturan di negara asing serta tidak cuba melibatkan diri dalam aktiviti salah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya