Budak belum khatan tidak putus saf jemaah lelaki solat berjemaah

Budak belum khatan tidak putus saf jemaah lelaki solat berjemaah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTTRAJAYA: Sebahagian besar ulama tidak pernah pun memisahkan kanak-kanak secara khusus daripada saf lelaki dewasa sebagaimana difahami kebanyakan masyarakat ketika ini.

 Demikian penjelasan Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) menerusi slot Taudhih Al-Ahkam disiarkan laman sesawang rasmi agensi berkenaan bagi merujuk kemusykilan status saf solat.

 “Malahan andaian segelintir pihak tertentu konon kehadiran kanak-kanak boleh menyebabkan saf terputus atau pahala jemaah sebaris berkurangan adalah tidak benar,” jelas kenyataan itu.

 Bagaimanapun ujar JMNS, dalam situasi saf pertama di belakang imam pula, keutamaan jemaah hendaklah diberikan kepada orang yang lebih dewasa berbanding kanak-kanak mumaiyiz.

Gelaran ini merujuk golongan cilik tersebut yang sudah pun dapat membezakan sesuatu baik dengan buruk, kelazimannya berusia tujuh tahun ke atas sama ada berkhatan atau belum lagi.

Langkah ibu bapa membawa anak mereka ke masjid atau surau bahkan dapat menyemaikan dalam diri perasaan cinta rumah Allah selain solat berjemaah dan mengimarahkan premis itu.

“Untuk kanak-kanak yang belum mumaiyiz, mereka tidak digalakkan turut serta dalam jemaah kerana tidak lagi dipertanggungjawabkan atau difardukan menunaikan solat,” terang JMNS.

Namun jelas agensi itu, sekiranya ada budak tersebut turut serta dalam saf, solat mereka yang berhampiran dengannya adalah tetap sah dan tidak pula dilucutkan fadilat ibadah berjemaah.

Sementara bagi kanak-kanak yang mumaiyiz, kedudukannya adalah di mana-mana bahagian saf tetapi bukan di belakang imam yang memang dikhususkan bagi orang baligh dan berakal.

 Jika kanak-kanak ini datang awal dan berada di saf pertama, tempatnya tidak boleh diambil untuk digantikan oleh orang dewasa kerana budak tersebut memiliki hak ke atas tempat tersebut.

Hujah ini ada diterangkan Imam al-Khatib al-Syirbini berdasarkan hadis diceritakan Ibn Umar apabila Rasulullah SAW melarang seseorang meminta orang lain bangun bagi digantikannya.

“Apabila jemaah datang serentak, kanak-kanak yang tiba awal, janganlah dikebelakangkan demi memberi tempat kepada lelaki dewasa kerana budak itu yang lebih berhak,” tambah JMNS.

Justeru, agensi itu menegur tindakan oleh individu lelaki dewasa hadir lewat apabila mengambil pula tempat kanak-kanak lelaki mumaiyiz yang datang lebih awal ke dalam saf berkenaan.

Berhubung isu budak yang belum lagi berkhatan, dia tidak dianggap konon menanggung najis kerana hukum asalnya seseorang tidaklah bernajis berdasarkan pandangan Imam al-Syirazi.

Ulama itu dalam kitab al-Majmu’ jelas JMNS, merujuk insiden Nabi Muhammad SAW pernah mendukung Umamah Abi al-As ketika baginda solat yang menunjukkan hukum sah solatnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.