BN Sabah dipinggirkan dalam Kabinet Persekutuan-Bung Moktar

BN Sabah dipinggirkan dalam Kabinet Persekutuan-Bung Moktar

BUNG MOKTAR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah seolah-olah dipinggirkan dalam pembentukan Kabinet kerajaan perpaduan apabila tiada seorang pun daripada tujuh ahli Parlimennya dilantik sebagai menteri penuh.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, dua menteri daripada Sabah adalah  Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) selaku komponen Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mewakili jumlah yang kecil.

Beliau berkata, jumlah itu tidak seimbang berbanding negeri jiran, Sarawak yang dilantik dalam lima portfolio termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kedua.

“Pembentukan Kabinet baharu kerajaan perpaduan persekutuan ini nampaknya menyaksikan Sabah dipinggirkan dalam pelantikan portfolio khususnya wakil daripada BN Sabah yang memberikan komiten awal bersama BN Pusat untuk menyokong PH menjadi kerajaan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

“Tiada seorang pun wakil dari BN Sabah dalam Kabinet baharu ini. Berbanding Sarawak, mereka ada lima menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di Sabah, BN memenangi paling banyak kerusi parlimen dengan tujuh kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), diikuti GRS (enam), PH (lima), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta masing-masing satu Perikatan Nasional (PN) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Malah, BN Sabah turut menyumbang kerusi kedua terbanyak selepas BN Johor daripada 30 kerusi dimenangi BN di seluruh negara pada PRU-15.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berharap peminggiran BN Sabah dalam Kabinet baharu itu bukan petanda peminggiran negeri ini dalam aspek pembangunan.

“Kita tidak mahu Sabah sekali lagi dipinggirkan dalam aspek pembangunan terutama pelaksanaan projek infrastruktur yang penting untuk kemudahan rakyat negeri ini.

“Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah umpamanya mesti diteruskan dan dipercepatkan. Kita tidak mahu melihat projek ini sekali lagi tergendala seperti yang berlaku ketika PH menjadi kerajaan pada 2018,” katanya.

Menurut beliau, Sabah juga memerlukan perhatian kerajaan persekutuan dalam menyelesaikan isu bekalan air bersih, bekalan elektrik dan jalan luar bandar yang masih belum menyeluruh.

Malam tadi, Perdana Menteri mengumumkan barisan Kabinetnya yang mempunyai 28 menteri termasuk dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Ahli Parlimen Bagan Datuk yang juga, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS). –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.