Biasakan dengan realiti gabungan BN-PH - Utusan Malaysia

Biasakan dengan realiti gabungan BN-PH

MUJAHID Yusof dalam sidang akhbar di Tanjung Piandang, Parit Buntar semalam. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Kerjasama di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PN) yang membentuk kerajaan sesuatu yang tidak pernah terbayang boleh berlaku dan penyokong kedua-dua parti perlu membiasakan diri dengan realiti gabungan itu.

Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, kerjasama BN dan PH berlaku demi kestabilan politik di peringkat Pusat dan negeri.

“Kerjasama yang berlaku ini adalah sesuatu yang tidak terbayang tetapi perkara itu mengikut undang-undang yang melayakkan kedua-dua gabungan ini membentuk kerajaan, maka sudah pastilah sama ada mahu atau tidak, dua parti ini terpaksa duduk sekali.

“Ini adalah untuk memastikan kestabilan politik dan tidak ada pilihan. Di Parit Buntar, kita sudah mengarahkan peringkat bawahan supaya membiasakan diri dengan realiti kerjasama PH dan BN ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis kesyukuran dan meraikan petugas pilihan raya dan penyokong PH di Tanjung Piandang di sini semalam.

Sementara itu, Mujahid yang juga Pengerusi PH Perak berkata, kritikan terhadap barisan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melantik mereka yang kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sengaja dimainkan untuk mengelirukan rakyat.

Menurutnya, ini kerana pelantikan itu tidak menyalahi peraturan.

“Pelantikan Kabinet tidak mensyaratkan seseorang mesti menang pilihan raya, itu kena jelas,” katanya.

Mengenai pelantikan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri, Mujahid berkata, semua pihak perlu menghormati pelantikan itu kerana ia tidak menyalahi peraturan.

“Saya percaya Perdana Menteri melantik Ahmad Zahid mengikut hierarki parti dan ini perlu dihormati. Sebaliknya jika ini tidak berlaku, ini akan dilihat pelik atau janggal. Ahmad Zahid merupakan Pengerusi BN, Presiden UMNO dan beliau bersama-sama seramai 30 ahli Parlimen BN menyatakan sokongan kepada kerajaan yang dibentuk,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN