Bersatu Sabah dakwa Hajiji hilang keabsahan sebagai Pengerusi GRS 

Bersatu Sabah dakwa Hajiji hilang keabsahan sebagai Pengerusi GRS 

HAJIJI NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Hajiji Noor tidak lagi mempunyai keabsahan untuk kekal sebagai Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana tindakannya keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee mendakwa, keahlian Ketua Menteri Sabah itu dalam gabungan GRS hanyalah sebagai individu manakala kedudukannya sebagai ‘Pengerusi GRS’ hendaklah diputuskan oleh Majlis Tertinggi GRS.

“Bersatu adalah parti pengasas GRS, menurut Fasal 6.1 (ii) Perlembagaan GRS, Bersatu merupakan ahli yang sah dalam gabungan itu.

“Selaku Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah, saya memaklumkan bahawa Bersatu sebagai ahli GRS tidak pernah terlibat dalam sebarang perbincangan yang memutuskan supaya GRS memasuki perjanjian persefahaman dengan gabungan-gabungan parti lain untuk membentuk kerajaan perpaduan.

“Oleh itu, perjanjian persefahaman gabungan parti politik menyokong kerajaan Persekutuan yang ditandatangani Hajiji sebagai Pengerusi GRS semalam adalah tidak sah dan tidak mewakili aspirasi Bersatu melalui GRS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

10 Disember lalu, Bersatu Sabah dilaporkan ‘lumpuh’ apabila Hajiji mengumumkan kesemua wakil rakyatnya keluar parti bagi membentuk sebuah parti baharu.

Namun, buat masa ini, kesemua wakil rakyatnya kekal berjuang dalam GRS.

Selain Bersatu Sabah, GRS dianggotai Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan menjalin kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi mentadbir Sabah.

RONALD KIANDEE

Ronald kemudian dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah yang baharu menggantikan Hajiji.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), terdapat empat Parlimen Bersatu Sabah menang, namun mereka menggunakan tiket GRS iaitu Datuk Armizan Mohd. Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).

Ronald pula bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, mereka yang keluar parti kemudian mendakwa sudah menyertai GRS sebelum pilihan raya lagi dan GRS terdaftar di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebagai parti politik meskipun ia merupakan sebuah gabungan.

Tindakan wakil-wakil rakyat Bersatu keluar parti menimbulkan persoalan terhadap kedudukan mereka sebagai ahli Parlimen sama ada telah keluar parti dan perlu mengosongkan kerusi atau sebaliknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN