Berdiri tujuh jam jual sate pandu lalu

Berdiri tujuh jam jual sate pandu lalu

MUHAMMAD Hanif Nordin memegang sepanduk ketika menjual sate di tepi jalan Klebang Besar Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Demi mencari sesuap nasi, seorang lelaki sanggup berpanas dan berdiri selama tujuh jam di tepi jalan Klebang Besar berhampiran Pintu Kawalan Air Pasang Surut, Klebang, dekat sini sambil memegang sepanduk menjual sate secara pandu lalu setiap hari.

Bagi pengguna jalan raya yang melalui jalan tersebut, sudah tentu dapat melihat kegigihan Muhammad Hanif Nordin, 34, memegang sepanduk mengharapkan orang ramai singgah membeli sate yang siap dibakar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemuda dari Bukit Baru itu berkata, walaupun pendapatan yang diperoleh sekadar cukup makan dengan upah RM4 bagi setiap bungkus 25 cucuk sate yang dijualnya, ia sudah mencukupi baginya.

“Memang memenatkan berdiri tanpa henti tetapi demi mencari rezeki, saya tabah dan mengharapkan ada pelanggan singgah membeli sate drive thru.

“Sate ini sudah siap dimasak dan dibungkus dengan baik. Dalamnya ada 25 cucuk iaitu 15 ayam dan 10 daging termasuk kuah kacang, timun dan dua nasi himpit dijual RM30 sebungkus.

“Upah saya menjual RM4 bagi setiap bungkus, kalau 30 bungkus habis dapatlah saya pendapatan sehari RM120. Kadangkala tak habis, ada rezeki terjual 15 bungkus dapatlah gaji RM60,” ujarnya yang belum berkahwin.

Muhammad Hanif yang berasal dari Muar berkata, kadangkala dia terpaksa berhujan namungigih mengharapkan orang ramai singgah membeli sate yang dijualnya.

Menurutnya, dia mula menjual sate tersebut selepas kehilangan pekerjaan sebagai perunding perniagaan sewaktu negara dilanda wabak Covid-19.

“Pendapatan tidaklah banyak, dalam sebulan dapatlah antara RM2,000 hingga RM2,500. Itu cukup-cukup nak bayar sewa rumah, kereta dan hantar duit kepada mak dan ayah di Muar,” ujarnya.

Dia tidak menafikan banyak dugaan diharungi yang mana ada ketika hanya dapat menjual antara lima hingga 10 bungkus sate namun dia reda menerimanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN