Berdepan dakwaan merogol, ABC batal tayangan program Krismas Backstreet Boys - Utusan Malaysia

Berdepan dakwaan merogol, ABC batal tayangan program Krismas Backstreet Boys

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Saluran TV Amerika Syarikat, ABC menarik balik tayangan program istimewa Backstreet Boys sempena Krismas, susulan Nick Carter disaman seorang wanita atas dakwaan merogol ketika siri jelajah kumpulan itu pada 2001.

A Very Backstreet Holiday dijadualkan tayangannya pada 14 Disember ini, namun belum lagi disenaraikan dalam program istimewa ABC.

Khamis lalu, Shannon Ruth, 39, yang juga peminat kumpulan itu memfailkan saman sivil terhadap Carter di Las Vegas. Ketika kejadian, Ruth yang juga penghidap autisme dan cerebral palsy berusia 17 tahun.

Peguam Ruth, Mark Boskovich ketika sidang media secara maya berkata, serangan itu berlaku selepas anak guamnya beratur untuk mendapatkan autograf selepas konsert di Tacoma, Washington.

Dia berkata, Carter menjemput Ruth untuk menikmati minuman yang dipanggilnya jus VIP dan mengarahkan wanita itu melakukan perbuatan seksual ke atasnya sebelum merogolnya.

Katanya lagi seperti dilaporkan AFP, penyanyi itu berkata, tiada siapa yang akan mempercayai Ruth kerana kecacatannya.

Peguam Carter, Michael Holtz dalam kenyataan balas berkata, dakwaan mengenai insiden yang kononnya berlaku lebih 20 tahun lalu sebagai tidak berasas dari segi undang-undang, selain tidak benar sama sekali.

“Malangnya, selama beberapa tahun, Ruth telah dimanipulasi untuk membuat dakwaan palsu terhadap Nick. Dakwaannya juga berubah berulang kali dan secara material dari semasa ke semasa,” katanya.

Dia yang menyifatkan perkara itu sebagai aksi publisiti menambah, tiada apa-apa dalam tuntutan itu dan pasti mahkamah akan segera menyedarinya.

A Very Backstreet Holiday menampilkan Carter, AJ McLean, Kevin Richardson, Brian Littrell dan Howie Dorough membawakan lagu hits daripada album ke-10 mereka, A Very Backstreet Christmas dengan penampilan penyanyi, termasuk Seth Rogen dan Meghan Trainor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya