Belum ada perbincangan berhubung kerjasama PH-BN di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Belum ada perbincangan berhubung kerjasama PH-BN di Pulau Pinang

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Belum ada perbincangan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang berhubung kerjasama antara kedua-dua parti itu termasuk berkaitan pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Perkara itu dinyatakan Pengerusi PH Pulau Pinang yang juga Ketua Menteri, Chow Kon Yeow ketika ditanya berhubung perkara tersebut rentetan kerjasama antara kedua-dua parti berkenaan dalam kerajaan perpaduan di peringkat Pusat ketika ini.

Jelas Kon Yeow yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, kedua-dua pihak sama ada DAP atau BN Pulau Pinang masih belum berbincang berhubung isu kerjasama tersebut.

“Belum ada perbincangan di antara PH dan BN, dalam parti DAP pun tidak bincang apa-apa lagi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, BN Pulau Pinang sehingga kini juga masih belum membuat sebarang kenyataan bagi menjelaskan pendirian berhubung isu kerjasama dengan PH di peringkat negeri itu.

Bagaimanapun, mengambil kira senario perubahan semasa politik di peringkat Pusat, adalah diyakini PH dan BN Pulau Pinang juga dijangka membentuk kerjasama menjelang PRN negeri itu tidak lama lagi.

Ia juga mengambil kira penubuhan kerajaan negeri selepas PRU-15 di Pahang dan Perak yang dibentuk hasil kerjasama antara PH dan BN.

Pulau Pinang antara tiga buah negeri di bawah PH selain Selangor dan Negeri Sembilan yang masih belum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada PRN bersama-sama tiga lagi negeri di bawah Pas iaitu Kelantan; Terengganu dan Kedah.

Terdahulu, Kon Yeow dilaporkan berkata, tidak ada keperluan untuk ketiga-tiga negeri di bawah PH untuk mengadakan PRN dalam masa terdekat dan perkara itu juga akan mengambil kira beberapa faktor seperti sambutan Tahun Baharu Cina; Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha serta banyak lagi.

Bagaimanapun, Kon Yeow turut terbuka sekiranya keenam-enam negeri mengadakan PRN serentak bagi menjimatkan kos selain memudahkan orang ramai untuk pulang mengundi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya