Bekalan air pulih sepenuhnya - Utusan Malaysia

Bekalan air pulih sepenuhnya

Paip pecah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lebih sejuta pengguna di sekitar Selangor dan Putrajaya boleh menarik nafas lega apabila bekalan air di 472 kawasan sekitar Selangor dan Putrajaya yang terjejas sejak Sabtu lalu pulih sepenuhnya.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan bekalan air pulih sejak pukul 12 tengah malam tadi selepas dua Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi kembali beroperasi.

Dalam proses pemulihan tersebut, Petaling merupakan daerah terakhir mendapat bekalan air sepenuhnya yang melibatkan pengguna di 172 kawasan.

“Air Selangor ingin memaklumkan bahawa bekalan air bagi 472 kawasan di lima wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (196 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (27 kawasan) yang terjejas pulih sepenuhnya.

“Air Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” katanya.

Air Selangor sebelum ini memaklumkan bekalan air pulih secara berperingkat sejak tengah hari kelmarin apabila kawasan di Hulu Langat dan Kuala Langat mula mendapat bekalan.

Sabtu lalu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas akibat dari tumpahan pati minyak wangi berpunca daripada kemalangan sebuah lori yang membawa muatan bahan tersebut di Lebuhraya Elite berdekatan Bandar Serenia, Negeri Sembilan.

Jarak lokasi kemalangan ini ke LRA Sungai Semenyih adalah sekitar 6.4 kilometer dan ke LRA Bukit Tampoi sekitar 18 kilometer.

Oleh demikian, pencemaran bau dikesan berlaku di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir dan memaksa henti tugas di LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi.

Tumpahan kira-kira 1,000 liter pati minyak wangi itu menyebabkan berlakunya pencemaran dan oleh demikian, Air Selangor terpaksa menghentikan operasi LRA bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Insiden berkenaan menyebabkan lebih sejuta penduduk di 472 kawasan sekitar Selangor dan Putrajaya terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual.

Bagaimanapun, gangguan bekalan air tidak berjadual itu pulih sepenuhnya lebih awal berbanding jangkaan pada pukul 6 pagi hari ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya