Bantuan banjir: Buat laporan semula di pejabat daerah - Utusan Malaysia

Bantuan banjir: Buat laporan semula di pejabat daerah

Bantuan banjir
AMIRUDIN Shari (tiga, kiri) menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta gerak gempur SPM 2022 dekat SJKT Midlands di Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri meminta mangsa bah di Selangor pada tahun lalu yang masih belum menerima bantuan banjir daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri supaya membuat laporan semula kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) masing-masing.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, laporan semula ini perlu bagi membolehkan kerajaan negeri membuat semakan semula berhubung permohonan bantuan yang dibuat mereka sebelum ini.

“Memang saya terima banyak laporan yang mengatakan ramai mangsa banjir yang belum menerima bantuan (daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri). Namun, semakan perlu dibuat bagi memastikan bahawa mereka benar-benar layak mendapat bantuan.

“Mana-mana mangsa yang tidak menerima bantuan disebabkan mereka tidak layak, kita akan semak semula alasannya,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis ‘Capacity Building’ Gerak Gempur SPM 2022 di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Midlands, hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan lebih 30 mangsa banjir daripada Pangsapuri Jaya, di sini masih belum menerima bantuan baik pulih rumah yang bernilai RM5,000, seperti yang dijanjikan Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Malah, terdapat beberapa penduduk di Taman Sri Muda, Shah Alam juga mendakwa mereka tidak mendapat bantuan wang ihsan daripada kerajaan Selangor disebabkan status mereka sebagai penyewa rumah dan bukannya pemilik rumah.

Berhubung isu bantuan Kerajaan Persekutuan, Amirudin memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan menghubungi pihak kerajaan Pusat bagi mengetahui status penerima bantuan tersebut.

“Bantuan yang paling banyak tak diterima oleh mangsa banjir adalah bantuan baik pulih. Pengerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Selangor belum lagi dilantik walaupun secara kebiasaannya, pengerusi ICU adalah Menteri Besar.

“Sekiranya Pengerusi ICU Selangor sudah dilantik, saya pasti isu ini dapat ditangani secara menyeluruh,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya