TUMPAT: Situasi banjir termenung di beberapa kawasan di daerah ini memberi kesan kepada mata pencarian seorang pencari siput bendang apabila hasil tangkapan semakin berkurangan sejak beberapa hari lalu.
Kampung Bendang Pak Yong, Kajang Sebidang, Teluk Jering dan Naga Ibu yang menjadi lokasi kepada Azlan Azmi, 42, untuk mencari siput bendang masih terjejas akibat banjir termenung meskipun bah di kebanyakan kawasan di daerah ini kian pulih.
Azlan berkata, dia sukar mencari siput bendang atau lebih dikenali sebagai siput kecha dalam dialek Kelantan ekoran kawasan tali air dan sawah masih bertakung dengan limpahan air Sungai Golok.
Katanya, keadaan tersebut menyebabkannya tidak dapat masuk ke kawasan yang menjadi habitat haiwan bercengkerang itu apabila paras air di tali air dan bendang masih tinggi.
“Jika mahu tunggu air banjir termenung surut, memang saya tidak dapat mencari rezeki. Jadi, saya mengambil keputusan untuk cari siput bendang di Bunut Susu, Pasir Mas.
“Meskipun perlu bergerak sejauh hampir 20 kilometer, usaha itu berbaloi apabila dapat membawa pulang hasil siput bendang ,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Azlan memberitahu, hasil itu lebih banyak daripada tangkapan di kawasan Kampung Bendang Pak Yong, Kajang Sebidang, Teluk Jering dan Naga Ibu yang kebiasaannya memperoleh hasil tangkapan sebanyak lima kilogram di situ.
.
Katanya, mencari siput bendang adalah pekerjaan tetapnya sejak tujuh tahun lalu untuk menyara isteri, Robiatul Adawiyah Che Mod, 42, dan dua orang anak.
Katanya, siput-siput itu dijual pada harga RM8 sekilogram yang siap dibersihkan dan dipotong bahagian hujung. – UTUSAN