Banjir termenung: Pekebun terpaksa guna sampan angkut kelapa

Banjir termenung: Pekebun terpaksa guna sampan angkut kelapa

banjir
PEKEBUN menggunakan sampan untuk membawa keluar buah kelapa dari kebun mereka yang dinaiki air sejak lebih sebulan berikutan musim hujan ketika tinjauan di Kampung Tebuk Haji Karim, Sungai Nipah di Bagan Datuk. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Pekebun kelapa di sini terpaksa menggunakan sampan untuk mengutip buah kelapa yang terendam dalam air akibat kawasan kebun mereka dinaik air sejak lebih sebulan lalu.

Mereka terpaksa berbuat demikian kerana tiada cara lain untuk mengutip buah dari kebun yang digenangi air akibat musim tengkujuh yang melibatkan pekebun di kawasan Selekoh, Sungai Tiang, Simpang Tiga dan beberapa kawasan lain di sini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pekebun kelapa, Norman Maizuki, 37, dari Kampung Tebuk Haji Karim, Sungai Nipah di sini berkata, kelapa yang lama terendam dalam air akan rosak dan berbau busuk.

Menurutnya, air dalam sabut kelapa akan menyebabkan kerja mengupas sukar untuk dilakukan berbanding dalam keadaan biasa.

Katanya, pekebun tiada cara lain untuk mengutip kelapa selain menggunakan sampan dengan membawa buah ke kawasan yang kering sebelum dimuatkan dalam lori.

“Kawasan kebun kami di sini sudah lebih sebulan dinaiki air menyebabkan kami sukar untuk mengutip buah secara biasa. Dalam keadaan kebun yang dinaiki air, sukar untuk kami berjalan mengutip buah dari pokok ke pokok.

“Semakin lama buah yang terendam dalam air akan rosak, membusuk dan kelapa yang lama terendam susah untuk dikupas. Kami tiada cara lain untuk mengeluarkan buah dari kebun selain menggunakan sampan. Kami tarik sampan dari pokok ke pokok dan buahnya kami kumpul dalam sampah.

“Setelah itu, sampan yang sarat dengan buah kelapa kami tarik hingga ke kawasan yang tidak dinaiki air di tepi jalan sebelum dinaikkan ke atas lori dan dibawah ke pusat pengumpulan,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, dengan cara itu pekebun dapat hasil daripada buah dibiarkan rosak di dalam air.

Katanya, sejak banjir di kebun kelapa, mereka sukar untuk mengutip buah namun dengan menggunakan sampan, sekurang-kurangnya pekebun mendapat hasil.

“Contohnya hari ini dapat juga saya mengutip kira-kira 2,000 buah kelapa, ada juga hasilnya. Cuma kami terpaksa meranduk air yang busuk, berwarna hitam selain ancaman haiwan berbisa dan kaki terpaksa berendam dalam air selama berjam-jam yang boleh menyebabkan kekejangan,” katanya.

Menurutnya, dia menjangkakan keadaan itu akan terus dihadapi pekebun kelapa di sini disebabkan musim hujan yang berpanjang.

Katanya, masalah kawasan itu dinaiki air disebabkan sistem peparitan di sekitarnya yang menyebabkan air tidak dapat mengalir keluar,.

“Antara punca air yang lambat mengalir keluar ialah kunci air yang rosak, parit dan longkang tidak dibersihkan sebaliknya dipenuhi semak, sampah, batang kelapa dan batang pisang. Kami berharap pihak yang berkenaan dapat melihat masalah ini daripada berlarutan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya