Banjir: Jumlah mangsa di Pahang menurun 221 orang

Banjir: Jumlah mangsa di Pahang menurun 221 orang

AIR Sungai Tembeling, Ulu Tembeling dilaporkan meningkat semula pukul 8.28 pagi ini apabila siren amaran berbahaya dibunyikan di Kampung Bantal di Jerantut, Pahang. - IHSAN PENDUDUK KAMPUNG BANTAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Jumlah mangsa banjir di negeri ini menurun kepada 221 orang daripada 62 keluarga yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini sehingga pukul 8 pagi hari ini.

Jumlah itu menurun berbanding 484 mangsa daripada 113 keluarga yang ditempatkan di lima PPS di daerah ini pukul 8 malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, tiga PPS yang masih dibuka adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ular, SK Cherating dan PPS Surau Kampung Chendor. 

“PPS SK Sungai Ular menempatkan 38 mangsa daripada 10 keluarga, PPS SK Cherating 138 mangsa, 39 keluarga dan PPS Surau Kampung Chendor 45 mangsa, 13 keluarga,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Che Adam menjelaskan, Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia, Rompin masih menunjukkan paras amaran berbahaya, iaitu setinggi 11.41 meter, manakala paras air 13 batang sungai utama di beberapa daerah negeri ini sudah menunjukkan trend menurun tetapi masih di peringkat waspada.

Beliau berkata, hujan dilaporkan berlaku di semua daerah mulai pagi hari ini hingga petang esok kemungkinan berlaku semula peningkatan paras air sungai.

“Penduduk pesisir Sungai Pahang dan sungai utama lain di 11 buah daerah negeri ini perlu berwaspada serta kerap mendapatkan maklumat sahih tentang keadaan banjir daripada anggota APM bertugas dan pihak berkuasa beruniform lain,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN