Banjir: Berpaut pada pokok sawit, dua wanita diselamatkan bomba

Banjir: Berpaut pada pokok sawit, dua wanita diselamatkan anggota bomba

ANGGOTA bomba menggunakan tali bagi mengeluarkan dua orang wanita yang hampir dihanyutkan arus deras di Ladang Kurnia, Jalan Sungai Koyan-Tersang di Lipis, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Koyan di sini berjaya menyelamatkan dua wanita berusia 36 dan 43 tahun daripada dibawa arus deras dalam kejadian banjir di Ladang Kurnia, Jalan Sungai Koyan-Felda Tersang, di sini semalam. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, dua orang wanita berkenaan berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam banjir di laluan air yang deras. 

Ketua Zon Tiga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Shahrul Nizam Nasir berkata, kedua orang wanita berkenaan dipercayai dalam perjalanan pulang dari menghantar barang di kawasan banjir ladang tersebut.

“Mangsa menaiki kereta mengharungi laluan banjir dan terperangkap di kawasan arus deras.

“Melihat keadaan air naik mendadak serta arus semakin deras, kedua wanita ini bertindak keluar dari kereta yang dinaiki untuk meminta bantuan,” katanya dalam kenyataan di sini. 

Menurut Shahrul Nizam, mangsa terpaksa berpaut pada pokok kelapa sawit selama hampir 20 minit sebelum berjaya diselamatkan oleh anggota bomba BBP Sungai Koyan.

Beliau berkata, BBP Sungai Koyan menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.01 malam dan lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian dengan menaiki sebuah jentera.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian pada pukul 9.13 malam, anggota bomba mengesahkan terdapat dua wanita sedang berpaut pada pokok kelapa sawit ekoran terperangkap dalam banjir dengan kedalaman kira-kira dua meter dan jarak dengan anggota kami sejauh 20 meter. 

“Selepas membuat penilaian risiko, anggota bomba bertindak berenang dengan menggunakan tali dan peranti pengapungan peribadi (PFD) untuk menyangkut tali antara sebatang pokok ke pokok kelapa sawit hingga ke tempat mangsa berpaut. 

“Kedua orang mangsa berjaya dibawa keluar dengan menggunakan tali yang dipasang di pokok tersebut dan tiba di kawasan selamat,” katanya

Beliau berkata, penduduk diminta lebih berhati-hati ketika meredah ke kawasan banjir untuk pulang ke rumah atau pergi ke sesebuah tempat pada musim banjir dengan mematuhi arahan pihak berkuasa. 

Ujarnya, penduduk di kawasan rendah dan pinggir sungai diharap bersiap siaga menghadapi bencana banjir berikutan hujan lebat sering berlaku ketika musim pejur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya