Babi hutan ganggu hidup penduduk - Utusan Malaysia

Babi hutan ganggu hidup penduduk

MUHAMMAD Gadaffi Abdul Manaf menunjukkan tanaman yang dirosakkan babi hutan di Taman Ixora 137, Seremban 3, Seremban. – UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kehidupan harian penduduk di Taman Ixora 137, Seremban 3 di sini terganggu dengan kehadiran babi hutan di taman perumahan tersebut sejak awal bulan lalu.

Seorang penduduk, Muhammad Gadaffi Abdul Manaf, 42, berkata, gangguan babi hutan yang turut dibimbangi boleh mengancam keselamatan penduduk itu kali pertama berlaku sejak dia tinggal di taman perumahan tersebut, 13 tahun lalu.

“Terdapat dua ekor babi hutan bersaiz besar dan seekor lagi agak kecil yang mula berkeliaran di taman perumahan ini, biasanya sekitar pukul 6.30 pagi dan lewat petang kira-kira pukul 7 malam.

“Babi hutan ini mula merosakkan tanaman penduduk dan kami khuatir juga haiwan liar ini boleh mengancam penduduk termasuk pelajar-pelajar universiti yang ramai tinggal menyewa di sini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Muhammad Gadaffi, penduduk telah membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan dan wakil rakyat namun sehingga kini tiada tindakan diambil.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Ixo­ra 137 Seremban 3, Zainal Abidin Hamzah, 50, berkata, bimbang berlaku kejadian yang tidak diingini, penduduk juga kini tidak membenarkan anak masing-ma­sing bermain di luar rumah.

Tambah beliau, malah penduduk juga sudah khuatir untuk beriadah di kawasan perumahan tersebut.

“Keadaan memang merisaukan semua penduduk, kerana kami diserang dan dicederakan oleh babi hutan ini.

“Sebelum ini memang ada pihak Jabatan Perhilitan datang memasang perangkap, namun tidak berjaya menangkap haiwan liar itu,” katanya.

Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) memaklumkan, pihaknya tidak mempunyai sebarang akta untuk mengambil tindakan terhadap aduan orang ramai mengenai haiwan liar seperti babi hutan dan monyet.

“Jika warga bandar raya mempunyai aduan mengenai haiwan liar seperti monyet atau babi hutan, boleh kemukakan aduan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan).

“Majlis Bandaraya Seremban tidak mempunyai akta untuk mengambil tindakan terhadap haiwan berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.