Aspek pertumbuhan terbaik untuk perniagaan saluran

Aspek pertumbuhan terbaik untuk perniagaan saluran

Pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dijangka memberi manfaat kepada penggiat automotif yang mempunyai import dalam denominasi dolar AS. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUDAYA perniagaan dan masyarakat berubah dalam sekelip mata pada Mac 2020 akibat pandemik Covid-19. Ia telah memberi impak yang besar atau sederhana kepada 92 peratus perniagaan di Malaysia dengan menangguhkan pelan perniagaan-perniagaan ini. Selain itu, pesanan atau acara 90 peratus perniagaan terpaksa dibatalkan. Susulan itu, ekonomi Malaysia menyusut sebanyak 5.6 peratus pada 2020. Pada awal 2022, keadaan jelas tidak akan kembali seperti sebelumnya. ‘Norma baharu’ telah menjadi ‘norma hari ini’. Malah, kami menyaksikan bagaimana trend operasi saluran dan pelanggan mereka berubah tatkala memasuki tahun kedua pandemik.

Di sini, saya akan merungkai empat trend utama yang saya percaya akan membentuk sektor saluran pada tahun akan datang. Selepas beroperasi dalam mod ‘survival’ selama 18 bulan, perniagaan yang mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran ini secara cekap akan mempunyai peluang yang luas untuk berkembang.

Onshoring dan nearshoring

Pandemik telah mencetuskan isu rantaian bekalan di seluruh dunia akibat pelbagai garis panduan kesihatan awam serta langkah sekatan tempatan, sekali gus membuktikan rantaian bekalan tempatan lebih berdaya tahan daripada rakan-rakan seindustri global mereka. Sungguhpun perubahan segera telah dibuat oleh rakan kongsi saluran dan pelanggan mereka bagi memastikan proses perniagaan terus berjalan lancar, hakikatnya, banyak pengaturan kontrak dengan pembekal adalah bertahun-tahun. Justeru, kami menjangkakan banyak organisasi akan terus merundingkan semula aspek rantaian bekalan mereka dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Rakan kongsi saluran yang ingin meningkatkan daya tahan dan mengembangkan perniagaan mereka haruslah mempertimbangkan kawasan dan pasaran tempatan bagi memperoleh pangkalan pelanggan baharu yang mungkin tidak pernah bekerjasama dengan mereka sebelum ini dalam persekitaran global pra-pandemik, di mana harga adalah segala-galanya.

Membina semula rantaian bekalan

Berikutan trend nearshoring (mendekatkan rantaian bekalan anda secara fizikal kepada perniagaan anda), perubahan selanjutnya dapat dijangka ketika perniagaan menyesuaikan operasi mereka.
Selama beberapa dekad ini, perniagaan dalam sektor pembuatan, automotif dan pembinaan telah beroperasi atas dasar ‘ter­tib yang betul, kali pertama’ (right order, first time). Bagaimanapun, mereka kini perlu lebih pragmatik dan cakna tentang produk yang tersedia untuk mereka, serta masa mereka boleh mendapatkannya.

Justeru, harapan dan jangkaan mereka juga terpaksalah berubah, dan kami menjangka akan menyaksikan kenaikan permintaan terhadap teknologi yang membolehkan komunikasi dua hala. Jadi, Sistem Pelaksanaan Pembuatan (MES), iaitu sistem berkomputer digunakan dalam pembuatan untuk mengesan dan mendokumentasikan transformasi bahan mentah kepada barangan siap, tidak pernah sepenting ini. Kami menjangkakan pasaran global untuk MES akan berkembang sekitar 15-17 peratus sehingga 2024.

Perniagaan saluran harus cakna tentang anjakan budaya ini, kerana rakan kongsi yang mampu menawarkan dialog terbuka kepada pelanggan mereka secara berterusan, dan bukan hanya menuntut pematuhan, akan menjadi semakin berharga.

Automasi memacu kerja jarak jauh

Pandemik telah bertindak sebagai pemacu untuk banyak trend, dan automasi adalah antara contoh sedemikian. Oleh sebab perniagaan perlu mengehadkan pekerja di pejabat dan kilang akibat pelbagai langkah sekatan serta penjarakan sosial, mereka mula beralih kepada automasi. Transformasi digital ini akan mempengaruhi segala aspek perniagaan, tidak kira menghantar invois secara jarak jauh, pelaksanaan jarak jauh, ataupun akses dan diagnostik untuk perisian dan mesin. Semua teknologi ini bergantung pada strategi berpaksikan awan.

Pelanggan akhir kini bertekad untuk menjamin kesinambungan perniagaan dengan meningkatkan ketangkasan dan daya tahan mereka untuk sebarang kejadian masa hadapan. Ini bermakna pekerja mungkin terpaksa bekerja secara jarak jauh, jadi ianya penting juga untuk memastikan mereka dapat mengekalkan pekerja berharga ini yang ingin meningkatkan kualiti hidup mereka.
Kami menjangka penyelesaian berpaksikan awan akan terus popular pada 2022, tatkala setiap sektor dalam ekonomi menyambut digitalisasi untuk mengekalkan kelebihan daya saing masing-masing.

Melabur dalam penemuan baharu

Namun, pandemik itu tidak menyebabkan segala-galanya beralih daripada memfokuskan individu kepada memfokuskan teknologi. Apabila perniagaan saluran terpaksa bekerja dari rumah sejak Mac 2020 dan tidak dapat bertemu secara bersemuka dengan pelanggan mereka, mereka menyedari jualan dalam mesyuarat virtual (biasanya lebih singkat) memerlukan pendekatan yang berbeza.

Kini, kami menyaksikan perniagaan saluran melabur lebih masa dalam fasa penemuan perjanjian baharu. Ini bermakna, apabila mereka masuk ke bilik maya bersama prospek mereka, mereka sudah cakna tentang cabaran, masalah dan peluang perniagaan, serta motivasi pihak yang ditemui mereka. Ini akan meningkatkan kadar kemenangan untuk rakan kongsi saluran sekali gus menggambarkan nilai dan manfaat pelaburan awal.
Sungguhpun kami menjangkakan lebih cabaran dalam landskap perniagaan pada 2023, sinar pemulihan telahpun muncul, dan transformasi digital yang rancak telah menghasilkan pasaran yang pesat untuk jualan teknologi di kawasan-kawasan terpilih.

PAUL FLANNERY adalah Naib Presiden Jualan Saluran Antarabangsa di syarikat ERP, Epicor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN