Anwar bakal lawat Indonesia dalam masa terdekat

Anwar bakal lawat Indonesia dalam masa terdekat

ZAMBRY Abdul Kadir (dua dari kiri) dan Joko Widodo (dua dari kanan) bergambar selepas pertemuan di Jakarta, Indonesia. - GAMBAR IHSAN BIRO AKHBAR DAN MEDIA ISTANA MERDEKA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan lawatan rasmi ke Indonesia.

Perkara berkenaan disahkan sendiri ketika beliau melakukan sesi kunjungan hormat buat julung kali ke atas Presiden republik itu, Joko Widodo di Istana Merdeka, Jakarta hari ini.

Bagaimanapun menerusi hantaran dalam laman sosial rasmi Wisma Putra, tarikh tepat mengenai lawatan itu nanti belum dimuktamadkan namun akan dibuat tidak berapa lama lagi.

“Semasa kunjungan terhadap pemimpin itu, Menteri Luar menyampaikan cadangan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Jakarta dan dirancang dalam masa terdekat,” katanya.

Ini merupakan kunjungan kali pertama Zambry setelah dilantik sebagai menteri berkenaan pada 3 Disember lalu dengan jadual amat padat bermula kelmarin dan berakhir hari ini.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, pertemuan Zambry dengan Joko atau juga mesra disapa sebagai Jokowi, turut membincangkan pelbagai isu dua hala yang berkepentingan.

“Antaranya sempadan maritim dan darat, kerjasama ekonomi termasuk pelaburan di ibu kota baharu Indonesia, Nusantara dan isu pembantu rumah negara berkenaan,” katanya.

Mereka berdua turut menyentuh isu serantau dan sejagat terutamanya situasi semasa di Myanmar dan ancaman sekatan minyak kelapa sawit kedua-dua negara di pasaran Barat.

Zambry juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Jokowi yang akan menjadi Pengerusi ASEAN baharu bagi sepanjang tahun 2023.

Pemimpin republik jiran itu merupakan tokoh negara luar pertama yang menghubungi Anwar setelah mengangkat sumpah sebagai ketua kerajaan Malaysia pada 24 November lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.