Anak seni kena beringat

Anak seni kena beringat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK pernah terbit penyesalan dalam diri bintang veteran ini ketika memilih untuk berhenti kerja sebagai penjawat awam pada 1998.

Kali terakhir berkhidmat sebagai pembantu tadbir di Kementerian Dalam Negeri, Kismah Johar, 70, berkata, ia adalah keputusan terbaik pernah dibuat dalam hidupnya.

Walaupun tidak menikmati pencen seperti bekas penjawat awam lain, Kismah bersyukur kerana rezeki berlakon tidak pernah putus sehingga hari ini.

“Dulu setiap kali mahu berlakon, saya terpaksa tulis surat minta cuti daripada majikan.

“Akhirnya, saya nekad berhenti kerja walaupun ditawarkan kenaikan pangkat ketika itu,” katanya kepada Pancaindera.

Kismah yang dilahirkan pada 21 April 1952 berkata, dunia lakonan sememangnya menjanjikan pulangan yang lebih lumayan berbanding pekerjaannya dahulu.

Namun, sebagai artis veteran, dia berpesan supaya setiap pelakonberjimat-cermat dalam berbelanja dan bijak menguruskan kewangan.

“Boleh kalau mahu berbelanja setiap kali mendapat bayaran, tetapi beringatlah dan jangan sampai boros. Paling penting asingkan simpanan setiap kali menerima bayaran,” kongsinya.

WARISI DARAH SENI IBU

Sepanjang menceburkan diri dalam bidang lakonan, lebih 30 judul filem sudah dibintanginya.

Ditanya mengenai minat dalam bidang lakonan, wanita kelahiran Gunung Rapat, Ipoh, Perak, itu berkata, dia mewarisi darah seni ibunya yang pernah bergiat aktif dalam pementasan opera Cina.

“Arwah ibu saya Cina Singapura atau digelar Cina Baba.

“Dia pernah bergiat aktif dalam opera dan boleh menyanyi serta berlakon walaupun kerja hakikinya adalah guru. Ayah saya juga boleh menyanyi jadi bakat seni banyak diwarisi daripada mereka,” katanya.

Menurut Kismah, minatnya terhadap bidang seni mula dipupuk sejak bangku sekolah rendah.

Katanya, ketika bersekolah di Ipoh dan Alor Setar, Kedah, dia pernah menulis skrip bagi pementasan drama dan teater sehingga memenangi anugerah.

Ketika itu, pernah terdetik di hati Kismah apakah dia mempunyai peluang untuk muncul di skrin televisyen?

Berkat kegigihan dan bakat semula jadi yang dikurniakan Tuhan, Kismah meraih peluang berlakon sebagai watak pembantu untuk siaran RTM.

“Selepas itu, saya dapat peluang berlakon dengan TV3 dan pelbagai drama swasta melibatkan stesen penyiaran lain.

“Bila orang dah mula nampak bakat lakonan saya, tawaran yang diterima selepas itu tidak putus-putus,” katanya yang mula bergelar pelakon pada usia 32 tahun.

Berkongsi tentang dunia lakonan, ibu dua anak ini memberitahu wataknya sebagai Mak Jah menerusi drama bersiri Keluarga Iskandar tidak boleh dilupakan sehingga sekarang.

Katanya, jalan cerita drama itu sangat digemari penonton sehingga pembesar istana juga mengikuti produksi tersebut.

“Ramai penonton suka dialog yang saya lontarkan iaitu ‘Allah already set from the top’. Dialog itu memang sudah terkandung dalam skrip dan saya kerap gunakan mengikut kreativiti sendiri.

“Jadi, anak-anak dalam Keluarga Iskandar sudah mengenali karakter ibu mereka,” jelasnya.

Antara filem lakonan Kismah ialah Sate, Gila-Gila Pengantin, Remp-It, Janin dan Redha.

Kismah juga pernah memegang watak pembantu dalam drama seperti Romeo & Juliet, Orang Gaji 41, Gerak Khas, Juvana, Lambaian Ramadan, Tok Adi, Kampung People 2 dan banyak lagi.

DIBESARKAN IBU SAUDARA

Sejak kecil, Kismah dibesarkan oleh ibu saudara disebabkan arwah bapanya sudah berjanji untuk memberikan hak penjagaan sejurus dia dilahirkan.

Ini kerana, katanya, ketika itu ibu saudaranya tidak memiliki anak dan sangat menginginkan cahaya mata sebagai penyeri hidup.

“Arwah bapa bersetuju saya dipelihara ibu saudara kerana dia menyangka akan mendapat anak lelaki. Dalam keluarga, adik beradik lain semuanya lelaki.

“Bila saya dilahirkan, arwah bapa terkejut apabila mendapat tahu dikurniakan anak perempuan. Walaupun serba-salah, bapa tetap serahkan saya kepada ibu saudara. Orang dulu-dulu kalau sudah berjanji mesti tepati,” katanya.

Kismah kini bergelar nenek kepada tujuh cucu dan banyak menghabiskan masa bersama ahli keluarganya yang menetap di Lembah Klang.

Dia juga bergiat aktif dengan Yayasan Artis Veteran Malaysia dan sudah 10 tahun memegang jawatan presiden.

Yayasan itu yang kini mempunyai 100 ahli terdiri daripada pelakon veteran banyak memperjuangkan kebajikan golongan tersebut.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN