Aktiviti ejen monopoli tapak pasar, bazar Ramadan perlu dihentikan - Anwar - Utusan Malaysia

Aktiviti ejen monopoli tapak pasar, bazar Ramadan perlu dihentikan – Anwar

ANWAR Ibrahim (tengah) bergambar bersama penjaja dan peniaga kecil pada Majlis Perasmian Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 (HPPK2022) di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu aktiviti ejen memonopoli tapak perniagaan penjaja dan tapak bazar Ramadan dihapuskan di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata, aktiviti itu menyebabkan penjaja dan peniaga terpaksa guna ejen kerana lesen diberi kepada orang lain kemudian barulah dipindah ke penjaja.

“Berapa ramai nak cari tempat perniagaan begitu susah. Saya percaya sama juga seperti pasar Ramadan itu dimonopoli beberapa kalangan orang yang mahu berniaga.

“Mereka bangun pagi masak pada bulan puasa dan waktu berbuka puasa kerana perlu bayar sewa tapi bayar ejen yang monopoli tapak terbabit,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 (HPPK2022) anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Penganjuran konvensyen itu disertai seramai 2,500 penjaja dan peniaga kecil dari seluruh negara.

Selain itu, konvensyen juga disertai rakan strategik KUSKOP seperti Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Gabungan Persatuan dan Penjaja Malaysia (G3PM), Yayasan Peniaga Kecil dan Penjaja Malaysia serta Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil India di negeri Selangor.

Anwar berkata, beliau mahu tekankan seluruh negara hentikan amalan itu dan pastikan keadaan tidak menjejaskan rakyat.

“Usaha ini tidak sukar sama sekali bagi membantu penjaja dan peniaga kecil.

“Sekiranya boleh dilakukan sebahagian besar masalah boleh dileraikan kemudian kita angkat (naik taraf) tempat perniagaan lebih baik,” katanya.

Dalam perkembangan melibatkan isu Pasar Keramat di ibu negara yang tertunda, Anwar berkata, beliau sendiri akan turun menyelesaikan isu terbabit sekiranya masalah yang timbul tidak selesai segera.

“Saya mahu jelaskan sekiranya awal tahun hadapan ia tidak selesai. Saya akan turun ke Pasar keramat untuk selesaikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya