SHAH ALAM: Penduduk khususnya mereka yang tinggal di kawasan berisiko dinaiki air dinasihatkan bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir pada 23 hingga 26 Disember ini sekiranya hujan lebat berterusan berikutan laut pasang besar dengan jangkaan paras air melebihi lima meter.
Justeru, dianggarkan hampir 100 dewan, sekolah dan bangunan-bangunan lain digazetkan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) termasuk tiga di Jeram, Kuala Selangor; dua di Shah Alam dan beberapa lagi di Hulu Selangor serta Kuala Langat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Ganabatirau Veraman berkata, pasukan keselamatan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam keadaan bersedia di lokasi-lokasi berisiko banjir.
“Di Taman Sri Muda, kita boleh nampak pasukan bomba sudah berada selama dua minggu di sana, khemah dibuka dan bot-bot diletakkan. Saya percaya PDRM sentiasa memantau perkembangan terkini dengan baik.
“Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) daripada Kerajaan Persekutuan bersiap siaga di kawasan seperti ini. Untuk JPS pula, mereka lantik beberapa kontraktor untuk tinggal di kunci air dan pasang khemah. Diletakkan pam-pam sementara dijaga rapi, itu persediaan yang sedang dibuat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ahli Parlimen Klang itu berkata, kesiapsiagaan turut dilaksanakan oleh Pejabat Tanah dan Daerah Klang serta PBT di sana termasuk cuti sebahagian besar kakitangan awam berkaitan dibekukan bagi membantu penduduk sekiranya berlaku banjir.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim memaklumkan, banyak projek tebatan banjir jangka pendek dan panjang kini sedang dalam proses serta selesai disiapkan.
Menurutnya, sebanyak 15 pam tetap dan sementara diletakkan di Sungai Klang serta Sungai Rasau sebagai persediaan untuk mengalirkan air keluar ke sungai sekiranya banjir dan pada masa sama berlaku air pasang.
“Banyak projek yang sudah selesai seperti pengukuhan ban, pendalaman tempat takungan air dan Sungai Klang. Sekarang sedang berjalan kerja-kerja mendalamkan Sungai Klang yang. 20 tahun tak korek, sekarang kita buat untuk melancarkan aliran dan menambah kemampuan tampungan.
“Kita juga sudah beli banyak pam-pam air, ada yang sudah sampai dan ada dalam proses fabrikasi. Ada yang kita sewa sebagai tambahan sementara menunggu pam baru siap. Yang mana kita beli dan sewa, kita sudah tempatkan di kawasan seperti di Sungai Klang dan Sungai Rasau. Kita tempatkan di kedudukan strategik dan terdedah dengan banjir,” jelasnya. –UTUSAN