PETALING JAYA: Cadangan jawatan utama UMNO terutama presiden tidak dipertandingkan hanya dilihat sebagai memperlekehkan kebolehan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ketua Puteri UMNO Bahagian Ledang, Nadhirah Afiqah berkata, sebagai pemimpin yang bijaksana, Presiden UMNO berjaya memastikan UMNO terus berada dalam kerajaan walaupun hanya memenangi 26 kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.
“Malah sebagai pemimpin dengan darah pahlawan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid juga telah berjaya mendapatkan semula jawatan Timbalan Perdana Menteri yang pernah disandang beliau sebelum ini.
“Dengan rekod pencapaian ini, adalah mustahil beliau akan berasa gentar untuk menghadapi apa-apa cabaran dalam pemilihan parti malah pastinya akan mempertahan dan melindungi asas demokrasi dalam UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Nadhirah, cadangan membawa usul dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 agar beberapa jawatan utama dalam UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti pada tahun hadapan dilihat hanyalah satu tindakan membodek kepemimpinan tertinggi UMNO.
Beliau berkata, ini kerana ia ternyata bukanlah pendirian lebih tiga juta ahli UMNO di seluruh negara yang mahu melihat demokrasi di dalam UMNO dihidup dan disuburkan semula selepas penangguhan pemilihan parti yang sepatutnya diadakan sebelum ini bagi memberi laluan kepada PRU15.
“Jika sebelum ini alasan penangguhan pemilihan adalah disebabkan tidak mahu berlaku perpecahan menjelang PRU15, justeru usai PRU15 seharusnya proses demokrasi yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO ini dihormati dan dipatuhi,” katanya. – UTUSAN










