Ahmad Fuzi lawat Pangkalan Udara Butterworth - Utusan Malaysia

Ahmad Fuzi lawat Pangkalan Udara Butterworth

AHMAD FUZI Abdul Razak (kiri) diberi penerangan ketika melawat pameran statik mengenai jet pejuang serta beberapa pengangkutan lain semasa lawatan kerjanya ke Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak hari ini buat julung kalinya mengadakan lawatan kerja ke Pangkalan Udara Butterworth di sini, selepas dilantik memegang jawatan itu pada 1 Mei tahun lepas.

Bahagian Perhubungan Awam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam kenyataan di sini hari ini memaklumkan, ketibaan Ahmad Fuzi disambut Timbalan Panglima TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Indera Muhamad Norazlan Aris; Panglima Wilayah Udara 1, Mejar Jeneral Datuk Mahadzer Amin dan Asisten Ketua Staf Sumber Manusia TUDM, Brigedier Jeneral Nazaruddin Haron.

Katanya, turut serta dalam lawatan kerja itu ialah Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman dan Mufti negeri, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor.

“Menerima tabik hormat sebaik tiba, Ahmad Fuzi kemudian memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dari Pangkalan Udara Butterworth yang terdiri daripada tiga pegawai serta 103 anggota lain-lain pangkat diketuai Mejar Mohd. Ariffaizi Omar diiringi pasukan pancaragam daripada Akademi Tentera Udara di bawah pimpinan Leftenan Muhamad Haniff Che Razak.

“Selesai sahaja melakukan pemeriksaan kawalan kehormat, beliau melawat pameran statik pesawat pejuang HAWK MK 108 dan F/A-18-D Hornet, Helikopter EC 725 dan AW 139 selain kenderaan bomba TUDM,” katanya.

Tambah kenyataan itu, Ahmad Fuzi kemudian menandatangani buku lawatan dan diberikan taklimat pangkalan meliputi pengoperasian, hala tuju serta cabaran yang dihadapi selain isu semasa sebelum menyantuni dan menyempurnakan Penyampaian Gerobok Rezeki kepada 100 anggota TUDM, kakitangan awam di bawah pentadbiran pangkalan, ahli keluarga, anak istimewa serta saudara baharu (mualaf).

Katanya, beliau seterusnya bersama-sama anggota TUDM yang lain menunaikan solat Jumaat sebelum menyempurnakan upacara menanam pokok ‘Doa’ (Bucida) di pekarangan surau di pangkalan udara berkenaan sebagai simbolik lawatan kerjanya ke situ selain meluangkan masa beramah mesra dengan kakitangan di situ.

“Sebelum mengakhiri lawatan kerja berkenaan, Ahmad Fuzi juga sempat menaiki helikopter AW 139 yang diterbangkan oleh Jurulatih Penerbangan dari No 3 Skuadron iaitu Mejar Nor Syawal Mohamad Din TUDM bagi membuat tinjauan udara di beberapa kawasan di sekitar Pulau Pinang,” katanya.

Difahamkan, penerbangan itu merupakan penerbangan sulung Ahmad Fuzi bersama TUDM setakat ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya