32 buletin amaran banjir dikeluarkan dalam tempoh dua hari awal

32 buletin amaran banjir dikeluarkan dalam tempoh dua hari awal

SENARAI kawasan panas banjir mengikut negeri bagi tahun ini melibatkan sebanyak 5,496 kawasan seluruh negara juga dikongsikan kepada Nadma sebelum MTL bagi persediaan awal bagi semua agensi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) berjaya mengeluarkan 32 buletin amaran banjir dalam tempoh dua hari awal menggunakan model ramalan banjir PRAB kepada penduduk melibatkan tujuh negeri.

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Datuk Dr. Md. Nasir Md. Noh berkata, ia melibatkan negeri Terengganu, Pahang, Kelantan, Johor, Kedah, Perak dan Pulau Pinang sejak bermula Monsun Timur Laut (MTL) 2022-2023 pada 7 November lalu dan dijangka berakhir pada Mac 2023.

Kata beliau, di samping itu, PRABN juga turut mengeluarkan 63 hebahan ramalan aras air yang melibatkan lapan negeri iaitu Kedah, Selangor, Kelantan, Terengganu, Johor, Negeri Sembilan dan Sarawak.

“Bagi kejadian banjir kilat, PRABN mengeluarkan sebanyak 27 Notis Kesiapsiagaan Banjir Kilat seluruh negara.

“Kesemua maklumat hebahan ini disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi tujuan koordinasi operasi agensi bencana di peringkat negeri dan daerah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu sebagai mengulas dakwaan berkaitan Sistem Amaran Banjir Lemah yang mengakibat kerugian kepada negara sebanyak RM36 bilion setahun sebagaimana dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.

Perkara itu dibangkitkan Pengarah Pusat Kesiapsiagaan dan Pencegahan Bencana, Malaysia-Japan International Institute of Technology, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Khamarrul Azahari Ra­zak yang memberitahu ketika ini sistem amaran awal banjir di Malaysia masih di tahap tidak mencukupi manakala peta bahaya risiko banjir pula tidak diperluaskan ke peringkat komuniti.

Dalam pada itu, MD. Nasir berkata, bagi meningkatkan capaian maklumat itu kepada orang awam yang terkesan, pihak Nadma bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuat hebahan amaran secara sistem pesanan khidmat ringkas (SMS).

Selain itu, katanya, hebahan amaran banjir turut dipaparkan di portal Publicinfobanjir, media sosial rasmi JPS seperti facebook, twitter, dan Instagram bagi tujuan hebahan yang lebih meluas.

Beliau menjelaskan, maklumat ramalan dan amaran banjir ini berjaya dilaksanakan melalui pelaksanaan Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) yang bermula pada tahun 2015 dan dilaksanakan secara berfasa.

Di bawah PRAB, katanya, terdapat empat komponen utama iaitu komponen pengesanan, komponen teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), komponen ramalan banjir dan komponen hebahan.

“Selain itu, senarai kawasan panas (hotspot) banjir mengikut negeri bagi tahun ini melibatkan sebanyak 5,496 kawasan seluruh negara juga dikongsikan kepada Nadma sebelum MTL bagi persediaan awal bagi semua agensi.

“Semua maklumat ini juga dimuat naik di laman Facebook rasmi JPS pada 4 Oktober lalu,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, JPS menyiapkan sebanyak 36 Peta Hazard Banjir dan telah membuat perkongsian dengan agensi kerajaan berkaitan.

Buat masa ini, katanya, orang awam boleh merujuk kepada kawasan hot spot banjir yang lebih mudah untuk difahami yang dikongsi dari semasa ke semasa.

Selain itu, kata beliau, pihak JPS juga melaksanakan program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA) kepada penduduk di Pantai Timur khususnya di Lembangan Sungai Kelantan, Lembangan Sungai Terengganu dan Lembangan Sungai Pahang untuk kesiapsiagaan menghadapi banjir berdasarkan amaran banjir yang dikeluarkan JPS.

“Program ini akan diperluaskan ke lembangan sungai yang lain secara fasa untuk meningkatkan kesedaran penduduk yang terkesan banjir untuk berpindah lebih awal berdasarkan amaran awal banjir yang dikeluarkan.

“Sepanjang Monsun Timur Laut ini, Bilik Kawalan Operasi PRABN sentiasa bersiap siaga dan beroperasi 24 jam dalam memberi ramalan dan amaran banjir kepada semua pihak berkaitan.

“Orang awam boleh mendapatkan maklumat hebahan amaran banjir dan juga status aras air sungai serta hujan di seluruh Malaysia di laman sesawang Public Infobanjir iaitu publicinfobanjir.water.gov.my,” katanya.

Maklumat juga boleh diakses menggunakan aplikasi mudah alih MyPublic Infobanjir yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple Apps Store. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.