JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) akan memasang 200 peranti ‘smart pole’ di kawasan perindustrian, komuniti dan sungai termasuk di Sungai Kim-Kim bagi memantau serta mengesan aktiviti pencemaran.
Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd. Rahman berkata, smart pole itu mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan peranti yang mampu mengesan dalam perimeter tertentu.
Menurutnya, alat itu mampu mengesan pH, amonia dan nitrat serta mempunyai penggera yang akan memberi amaran sekiranya berlaku pencemaran.
“Smart pole itu bukan sahaja boleh mengesan pencemaran air, tetapi juga udara dan bunyi, dengan 10 lokasi panas termasuk Sungai Kim Kim telah dipasang peranti itu sejak bulan lalu.
“Jika mengesan bendasing berbahaya, penggera akan berbunyi sebagai amaran agar langkah pencegahan awal dapat diambil segera.
“Dengan kelengkapan kamera yang tersedia, gambar individu yang melakukan pencemaran dapat dikenal pasti. Setakat ini kita telah buat ‘proof of concept’ (POC) di 10 lokasi untuk mengesan individu terlibat,” katanya selepas Majlis Pelancaran Rehabilitasi Sungai Buluh, di Pasir Gudang, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Marine And Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB), Pandai Othman.
Asman Shah bagaimanapun memberitahu, perancangan itu dijangka akan selesai dilaksanakan sepenuhnya menjelang tahun depan namun setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan pencemaran.
Sementara itu, Asman Shah turut memberitahu, MBPG telah menubuhkan Jawatankuasa Kelestarian Sungai Kim Kim melibatkan pihak industri, komuniti dan pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Parit dan Saliran (JPS), Julai lalu.
“Kita bangunkan jawatankuasa ini setelah mengambil kira apa yang berlaku di Sungai Kim Kim tiga tahun lalu, tetapi ia tidak terhad kepada sungai itu sahaja, sebaliknya melibatkan 25 sungai di Pasir Gudang.
“Tujuannya untuk memastikan bahawa kualiti air di sungai-sungai ini ditambah baik, khususnya dengan penggunaan teknologi-teknologi sedia ada,” jelasnya.
Dalam pada itu, pihaknya sedang menyiapkan kertas kerja bagi menaik taraf jawatankuasa itu menjadi Majlis Kelestarian Sungai Kim Kim dengan cadangan agar ia dinaungi Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.
Terdahulu MBPG dan MHB menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi melaksanakan Program Rehabilitasi Sungai Buluh di Pasir Gudang selama tiga tahun. – UTUSAN