104 terima anugerah sempena Keputeraan Sultan Selangor esok - Utusan Malaysia

104 terima anugerah sempena Keputeraan Sultan Selangor esok

HARIS KASIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Ke-77 esok, sebanyak 2,535 pencalonan diterima bagi penganugerahan darjah dan bintang kebesaran serta pingat-pingat negeri ketika dibuka permohonannya bermula 16 Jun hingga 16 Ogos lalu.

Bagaimanapun daripada jumlah tersebut, baginda memberi perkenan untuk menganugerahkan 10 kategori darjah dan bintang kebesaran serta pingat-pingat negeri kepada 104 penerima di Istana Alam Shah, Klang.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim, berkata, Sultan Sharafuddin berkenan memberikan empat anugerah yang membawa gelaran Datuk Seri dan Datuk kepada 24 orang.

“Dua orang akan menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang akan membawa gelaran ‘Datuk Seri’ sementara 22 lagi pula menerima anugerah Darjah Kebesaran Dato’ Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS), Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) dan Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) dengan masing-masing membawa gelaran Datuk.

“80 individu lagi akan menerima pingat-pingat negeri iaitu Setia Mahkota Selangor (SMS), Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (SIS), Ahli Mahkota Selangor (AMS), Ahli Sultan Sharafuddin Idris Shah (AIS), Bintang Kecemerlangan Sukan (BKS) dan Bintang Perkhidmatan Cemerlang (BPC),” katanya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan senarai penerima, seramai 60 penjawat awam akan menerima pelbagai darjah dan pingat. Selain sektor tersebut, 17 lagi penerima terdiri daripada individu korporat.

Sementara itu, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan darjah dan bintang kebesaran serta pingat-pingat negeri kepada 17 pegawai dan anggota keselamatan serta 10 lagi daripada penyumbang-penyumbang yang berjasa kepada negeri dalam pelbagai bidang termasuk sukan dan organisasi bukan kerajaan (NGO).

Dalam pada itu, Haris turut menegaskan calon-calon yang terpilih itu sudah pun melepasi tapisan daripada tiga jabatan kerajaan.

“Seramai 104 orang disenarai pendek oleh Jawatankuasa Khas dan senarainya dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Dewan di-Raja pada 27 September lalu. Senarai pencalonan juga diperkenankan oleh baginda selepas berunding dengan Dewan di-Raja.

“Semua calon yang disenarai pendek melepasi tapisan Polis Diraja Malaysia (Keselamatan dan Jenayah), Jabatan Insolvensi dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya